Monday, October 25, 2021

Abang Joe ‘doktor’ pembangunan Kabong

Mesti baca

KABONG: Setelah sekian lama menunggu dan mencari, penduduk di Kabong kini seperti terlihat bagaikan ada sedikit kerlipan cahaya di hujung terowong.

Sebuah daerah yang cukup dikenali dengan Pantai Tanjung Kembangnya ini tidak kurang juga terkenalnya sebagai sebuah kawasan yang begitu sukar untuk keluar dari kepompong ‘kelembapan’ pembangunan semasa.

Malah daerah ini turut banyak menyimpan ‘aset antik’ yang boleh jadi bahan arkib untuk muzium. Antara contohnya bangunan pasar asal masih kekal berstruktur kayu dan usang, kemudahan telekomunikasinya terkebelakang, tiada kemudahan bank, malah mesin ATM pun tidak ada, tiada pejabat berkaitan perkhidmatan elektrik walaupun selalu ‘blackout’ dan banyak lagi.

Apa yang ditulis sekadar menyebut beberapa contoh. Justeru, kalau nak dapat yang lebih baik maka penduduk perlu keluar dari kawasan menuju ke Saratok atau Sarikei.
Pastinya semua itu perlu ‘ongkos’ tambahan berbanding jika kemudahan ada di tempat ini. Untuk rekod, daerah ini merupakan penempatan petani dan nelayan yang berstatus ‘Daerah Penuh’ dan punyai ‘DUN Sendiri’.

Bukanlah maksud penulis daerah ini langsung tidak mempunyai pembangunan. Cuma episod ‘kelahiran’ sesuatu pembangunan yang dirancang untuk kawasan ini kelihatan amat sakit sekali. Malah ada yang tidak ‘lahir’ langsung walaupun pada dasarnya dikatakan sudah ‘mengandung’ tetapi ‘Keguguran’ !

Sementara itu ada projek yang berjaya lahir tapi kurang sihat..sakit. Maka wujud istilah,’ projek sakit’. Dan ada kemudahan itu hanya sekadar ada pada nama namun seperti tidak ada, tidak berfungsi sebagaimana yang diharapkan.

Itu nasib Kabong. Lambat menikmati pembangunan, macam siput-mengengsot!

Begitupun syukur juga kerana biarpun hanya bergerak mengengsot tapi tetap bermanfaat kepada penduduk dan demi kelangsungan hidup masa kini dan untuk generasi akan datang.

Namun demikian, setiap penyakit ada ubat, paling tidak pun vaksin seperti adanya Vaksin Covid-19 atau sekurang-kurangya ubat tahan sakit.

Sejujurnya apa yang penulis ingin katakan, penduduk Kabong kini boleh menarik nafas lega sepertimana leganya kita semua apabila vaksin Covid-19 berjaya dihasilkan dan diberi suntikan kepada semua sebagai perisai diri daripada ancaman Virus Corona.

Penduduk harus mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi, Doktor (Dr) Abang Johari Tun Openg. Mana nak cari orang hebat macam Abang Joe yang berstatus Ketua Menteri tapi kerap datang ke Kabong macam pergi ke gerai tanpa perlu banyak kerenah.

Untuk beliau (Abang Joe) saya secara peribadi mengangkatnya sebagai ‘doktor’ kepada penyakit pembangunan di kawasan ini. Ini bukan omongan kosong tetapi ada bukti nyata.

‘Sakit air paip’ yang dihidapi oleh penduduk di Kabong yang telah berlangsung sekian lama berjaya ‘disembuhkan’ oleh Dr. Abang Joe dengan menyaksikan air paip sudah ‘mupus’ ( kuat) di Kabong sekarang ini. Kelibat tong biru bersusun panjang di tepi jalan juga sudah tidak kelihatan. Rungutan penduduk juga kian tidak kedengaran lagi. Tahniah kepada Dr.Abang Joe, tidak lupa juga kepada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak!

Untuk yang akan datang kehadiran beliau pada Sabtu – 18 September 2021 (ini untuk rekod), Abg Joe hadir dengan beberapa ‘dos vaksin pembangunan’ di Kabong. Beliau membawa bukan satu atau dua ‘dos’ tapi enam ‘dos pembangunan’ !

Kesemuanya akan dilaksana segera dan dijadualkan siap sepenuhnya menjelang tahun 2023 akan datang.

Ketua Menteri Datuk Patinggi, Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan itu kelak akan membawa pelbagai impak yang positif kepada masyarakat di sini, merangkumi dari aspek, sosial, ekonomi dan lain-lain.

Projek pembangunan berkenan ialah projek menaik taraf Pejabat Daerah Baharu Kabong yang bernilai RM7 juta, serta mempunyai pelbagai kelengkapan yang bakal memberikan kemudahan urus tadbir yang lebih selesa kepada pihak jabatan dan juga masyarakat. Projek ini akan dibina di ditapak baharu yang berdekatan dengan Pantai Tanjung Kembang Kabong.

Selain itu, dalam usaha melonjakkan sosial ekonomi penduduk , terutama yang melibatkan perniagaan, kerajaan Sarawak turut meluluskan pembinaan pembinaan pasar baharu Kabong di sebuah tapak yang berkeluasan 27 ekar. Pasar baharu serba moden ini akan dibina berhampiran tebing muara Kabong dan akan membentuk landskap tepian sungai yang menarik dan terancang.

Sebuah dewan masyarakat baharu yang mampu menampung keperluan seramai 300 orang pada suatu masa akan turut dibina di Kabong dengan kos pembinaan berjumlah RM5.5 juta. Ini adalah bagi menggantikan dewan sedia ada yang sudah tidak sesuai lagi digunakan.

Dalam masa sama juga, beliau memberitahu tentang pembinaan sebuah masjid yang baharu yang akan menelan kos sebanyak RM14 juta.

Masjid ini nanti akan dapat memuatkan sebanyak 1,500 orang jemaah pada suatu masa serta menyediakan pelbagai kemudahan keagamaan

Menyentuh berkaitan dengan pembangunan pertanian di kawasan ini, Abang Johari berkata, sebuah terusan akan dibina di Sungai Sebelak bagi mengatasi masalah hakisan tanah yang berlaku di kawasan pertanian di lokasi terbabit.

“Pihak Jabatan Pengaliran dan Saliran (DID) Sarawak diarah untuk mengkaji dan membuat pelan pembinaan terusan ini.

Usaha ini katanya adalah untuk memastikan masalah hakisan tidak terus berlaku di kawasan pertanian utama di kawasan ini dan program ini telah terbukti berjaya kerana ia telah dilaksanakan di Gedong sebelum ini. Usaha ini juga bagi mengelakkan Kabong menjadi pulau apabila daratan terputus kerana hakisan.

Projek ini dianggarkan memakan kos sekitar RM15 hingga RM30 juta.

Dalam sidang media di Pejabat Daerah Kabong pada lawatan kerja ke daerah Kabong beliau turut menyentuh aspek yang melibatkan penambahbaikan bekalan air bersih ke luar bandar, kerja-kerja menaiktaraf saluran air kini sedang giat dilaksanakan dengan membina dan menaiktaraf paip serta mendirikan tangki-tangki simpanan air yang berkapasiti  besar.

Beliau memberi peruntukan tambahan sebanyak RM15 juta lagi bagi menaiktaraf sistem bekalan air ke kawasan Ulu Roban dan projek ini nanti bakal memberikan manfaat kepada penduduk di lima buah rumah panjang di kawasan Ulu Roban.

Dalam lawatan ini, Abang Johari telah diberikan taklimat berkaitan dengan projek-projek pembangunan yang berlaku di Kabong oleh agensi terlibat yang dipertanggungjawab bagi pelaksanaan projek tersebut.

Abang Johari juga telah mengadakan lawatan kerja ke tapak projek pembesaran Kampung  Baharu Kabong yang kini sudah 95 peratus siap.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Abdullah Julaihi, Ketua Pegawai Eksekutif LCDA Real Estate Sdn Bhd,  Davidran Somasundiram Prakasam, Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak, Ir Chang Kuet Shian serta beberapa ketua kerajaan dan jabatan kerajaan yang lain.

Semoga apa yang diberikan oleh Ketua Menteri akan menjadi vaksin terbaik kepada penduduk bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun depan dan mengelakkan berlaku ‘jangkitan’ undi protes.

Sekali gus usaha bersungguh-sungguh kerajaan itu juga membuktikan bahawa kerajaan GPS tidak pernah mengabaikan nasib rakyat walau di mana lokasi mereka berada.

Tahniah GPS, semoga perjuangan terus diberkati Tuhan dan kejayaan yang lebih cemerlang akan terus digapai dan dipegang erat berkat mandat kuat daripada rakyat.

Secara Rawak

Artikel Terbaru