Monday, October 25, 2021

8,077 calon duduki SPM Ulangan

Mesti baca

KUCHING: Sebanyak 8, 077 calon di seluruh negara  bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) bagi tahun 2021.

Jelas Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan, bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan tersebut berjalan dengan lancarnya, seramai 1568 petugas peperiksaan telah dilantik.

Katanya, calon yang telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPMU tahun 2021 di 201 pusat peperiksaan di seluruh negara, bakal menduduki peperiksaan itu pada 21 September hingga 23 September ini.

“Semua calon diingatkan agar merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat seperti tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung,” katanya.

Menurut Lembaga Peperiksaan lagi, calon juga mesti membawa bersama-sama dokumen pengenalan diri dan pernyataan pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan. Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun dari portal rasmi LP di http://lp.moe.gov.my.

Setiap calon hendaklah mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah yang terkini yang dikeluarkan oleh KPM.

Selain itu, calon juga perlu mematuhi  prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan dan pencegahan penularan wabak Covid-19.

Garis panduan tersebut boleh dimuat turun dari portal rasmi KPM di http://www.moe.gov.my.

Secara Rawak

Artikel Terbaru