Monday, October 25, 2021

RM9.13 bilion bantu  rapatkan jurang pembangunan Sabah, Sarawak

Mesti baca

KUCHING: Peruntukan sebanyak RM9.13 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob untuk Sabah dan Sarawak pada Khamis lalu disifatkan sebagai langkah tepat dan menggembirakan rakyat di kedua-dua negeri itu.

Felow Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr Jeniri Amir berkata, hal tersebut dapat  membantu untuk mengurangkan jurang pembangunan prasarana, ekonomi, digital dan sosial di negeri terbabit.

“Pengumuman  sekitar RM9 bilion itu tentunya disambut baik 6.6 juta rakyat Negeri Sarawak dan Sabah,”  katanya.

“Sesungguhnya cerminan semangat “Keluarga Malaysia” yang telah digagaskan oleh Perdana Menteri merupakan komitmen jitu Kerajaan Persekutuan untuk memastikan jurang lebar antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia dapat dirapatkan,” jelas beliau melalui Astro Awani

Sebelum ini, pelbagai rungutan dan masalah telah lama berlarutan termasuklah kemudahan asas yang jauh ketinggalan.

Oleh sebab itu,  jelasnya, komitmen Kerajaan Persekutuan itu dijangka dapat memacu Sabah dan Sarawak setanding dengan negeri-negeri maju yang lain.

“Segala peruntukan yang dinyatakan itu amat munasabah dan serasi dengan keinginan Perdana Menteri untuk melihat Sabah dan Sarawak juga dapat berdiri sama tinggi dengan negeri lain,” tambah Dr. Jeniri.

Ismail Sabri  ketika berucap pada sambutan Hari Malaysia 2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu.

Kerajaan memperuntukkan RM4.66 bilion bagi Sabah, dan RM4.47 bilion untuk Sarawak melalui peruntukan pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Perdana Menteri berkata peruntukan pembangunan itu bakal disalur di bawah Rolling Plan Pertama 2021, RMK12, yang akan dibentangkan di Parlimen 27 Sept ini, dan merupakan yang tertinggi berbanding negeri lain.

Secara Rawak

Artikel Terbaru