Monday, October 25, 2021

Lelaki di Bau dicekup polis

Mesti baca

BAU: Seorang lelaki dicekup polis di Kampung Pisa, Krokong di sini pagi tadi kerana memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 0.44 gram.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Supritendan Poge Nyaon berkata, suspek lelaki, 33, ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau kira-kira jam 10 pagi.

Katanya, kegiatan suspek ini dikesan hasil maklumat orang ramai dan tangkapan dibuat untuk memutuskan suspek daripada mempengaruhi remaja lain terlibat dalam gejala dadah.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semasa serbuan, anggotanya menjalankan pemeriksaan pada tubuh badan dan bilik tidur suspek.

“Hasil pemeriksaan mendapati satu peket plastik lut sinar mengandungi serbuk Methamphetamine dijumpai di atas tilam di dalam bilik suspek.

“Suspek ditahan dan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Bau untuk menjalani ujian saringan air kencing. Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Poge berkata, dadah yang dirampas adalah sebahagian yang belum digunakan.

Katanya, suspek tiada sebarang rekod lampau dan siasatan awal dijalankan terhadap suspek mendapati telah bergiat aktif dalam aktiviti salah guna dadah pada awal tahun ini dengan mendapat bekalan daripada rakannya.

Beliau berkata, permohonan reman dibuat terhadap suspek untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Secara Rawak

Artikel Terbaru