Monday, October 25, 2021

Kehadiran PN di Sarawak bukan untuk bersaing dengan GPS

Mesti baca

KUCHING:  Perikatan Nasional (PN) Sarawak hari ini mengumumkan keputusan  pelantikan Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan Negeri PN Sarawak.

Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan Negeri Perikatan Nasional (PN) Sarawak.

PN Sarawak terdiri daripada Bersatu dan Pas.

Sementara Naib Pengerusi 1 disandang Jofri Jaraiee dari Pas, manakala Naib Pengerusi 2 disandang Datuk Ali Biju (Bersatu).

Pembentukan Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan Negeri Parti PN Sarawak itu  dipersetujui oleh kedua-dua parti komponen berkenaan.

“Kehadiran Perikatan Nasional Sarawak adalah selaras dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang bersama dalam Kerajaan Perikatan Nasional,” kata Jaziri dalam satu kenyataan, hari ini.

“Ia bagi memperkukuh dan saling melengkapi antara satu sama lain dibawah kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin selaku Pengerusi Perikatan Nasional,” katanya.

Jaziri menegaskan bahawa kehadiran PN di negeri ini bukan untuk memberi saingan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebaliknya bagi memperkukuhkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.

“Fokus utama pihak kita adalah untuk membantu kerajaan negeri dalam bersama-sama memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat,” katanya

Antara ahli jawatankuasa lain ialah Mohd Arifiraizul (PAS) sebagai setiausaha dan penolongnya Ibrahim Mohamad (Bersatu).

Jawatan bendahari pula disandang oleh Lt Madya (B) Duke Janteng (Bersatu) dan penolongnya Mukhtar Suhaili (PAS).

Ismawi Muhamad (Bersatu) memegang jawatan Ketua Penerangan, manakala Timbalannya Syamsul Bahrie (PAS).

Selain itu, Zharudin Narudin (PAS) dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya 1 dan Baharuddin Mohsen (Bersatu ) sebagai Pengarah Pilihan Raya 2.

Jawatan Ketua Pemuda pula disandang Alexander Frusis (bersatu) dan Hamdan Sani (PAS) sebagai timbalan.

Manakala Ketua Wanita adalah Hamidah Mokthar (PAS) dan timbalannya Pelaga Embak (Bersatu).

Terdapat 12 ahli jawatankuasa lain turut dilantik dengan masing-masing enam dari Bersatu dan PAS, salah seorangnya adalah Datuk Willie Mongin (Bersatu).

Secara Rawak

Artikel Terbaru