Monday, October 25, 2021

Jumlah kes di Sarawak  tidak akan kembali ke angka dua dalam waktu terdekat

Mesti baca

KUCHING:  Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian  hari ini mengingatkan rakyat  bahawa jumlah kes jangkitan harian di negeri ini tidak akan kembali kepada angka dua digit dalam masa terdekat kecuali jika setiap orang memainkan peranan masing-masing.

Untuk rekod, Sarawak untuk beberapa waktu telah menyaksikan jumlah kes melebihi 2,000, malah pernah mencapai 5,000 kes harian.

Jumlah kes dicatatkan hari ini ialah 2,929 menjadikan jumlah kes di Sarawak setakat ini 177,081 setakat ini.

Menurutnya, tidak kira berapa banyak ujian calitan PCR, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), kuarantin, sekatan, vaksinasi, garis panduan (SOP), sukar untuk kes dikurangkan ke angka dua digit.

“Walaupun kita lega jumlah kes kategori 3,4 dan 5 serta kematian di Sarawak antara terendah di Malaysia, kita perlu terus memutuskan penularan  agar bilangan kes tidak membimbangkan dan meruntuhkan sistem kesihatan kita,” kata beliau dalam satu hantaran melalui Facebooknya.

“Meskipun kita tidak dapat melakukan apa-apa pada angka hari ini kerana ia memperlihkan penularan  dalam komuniti dalam 14 hari lepas, kita dapat membawa perbezaan pada jumlah kes untuk tempoh 14 hari yang akan datang,” jelasnya. Sambil menambah ini  dapat dicapai dengan bantuan semua.

“Saya yakin jika kita lakukannya bersama-sama, kita dapat lakukan perbezaan dalam tempoh 14 hari yang akan datang,” katanya.

Tegas Dr Sim,  bagi melindungi diri daripada Covid-19, pastikan kerap cuci tangan terutama sebelum menyentuh mata, hidung dan mulut, pakai pelitup muka, kurangkan interaksi fizikal dengan orang lain termasuk ahli keluarga yang tidak tinggal serumah.

Katanya, pastikan diri serta ahli keluarga berumur 18 tahun dan ke atas telah divaksin.

Bagi melindungi kanak-kanak dan remaja yang belum divaksin, cara terbaik bagi melindungi mereka adalah dengan melindungi diri sendiri.

Secara Rawak

Artikel Terbaru