Monday, October 25, 2021

Aksi berbahaya dua remaja di Kuching bawa padah

Mesti baca

PADAWAN: Tindakan dua remaja melakukan aksi berbahaya ketika menunggang motosikal di Jalan FAC Matang membawa padah apabila mereka ditahan polis pada Khamis Lepas.

Ketua Polis Daerah Padawan, Supritendan Aidil Bolhassan berkata, kedua-dua suspek ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan menerusi Op Samseng Jalanan bermula jam 5.00 petang sehingga 10 malam.

Katanya, operasi tersebut dijalankan untuk mencegah aktiviti motosikal atau lumba haram di kawasan tersebut.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dua orang suspek terbabit melakukan aksi tunggangan yang melulu dan berbahaya iaitu berlumba sambil meniarap di tempat duduk motosikal ala-ala aksi ”Superman”.

“Kedua-dua suspek ditahan dan dibawa ke IPD Padawan untuk siasatan lanjut. Mereka disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Selain tangkapan, Aidil berkata, polis juga mengeluarkan sebanyak 15 saman pelbagai kesalahan terhadap penunggang yang lain.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai terutamanya ibu bapa supaya memantau aktiviti anak-anak mereka apabila menggunakan motosikal supaya tidak terlibat dalam aktiviti lumba haram.

Secara Rawak

Artikel Terbaru