Friday, December 3, 2021

Seluruh rakyat Malaysia perlu fahami signifikan 16 September 1963

Secara Rawak

Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Malaysia Ke-58 kepada hadirin sekalian dan seluruh rakyat Sarawak, khususnya mereka yang mengikuti siaran langsung melalui TVS, iaitu TV kita sendiri, dan juga live streaming oleh Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) atau melalui siaran RTM atau melalui Facebook.

Sama seperti sambutan-sambutan perayaan sebelum ini, Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Negeri pada kali ini diadakan dalam skala yang kecil kerana status jangkitan COVID-19, terutamanya di Kuching, tidak mengizinkan perhimpunan melibatkan lebih daripada 100 orang.

Walau apapun, program pemberian vaksin di negeri ini yang telah dilaksanakan dengan penuh komitmen oleh KKM, SDMC dan banyak pihak yang membantu nampaknya telah berjaya mengelakkan infeksi yang teruk dengan 99 % kes pada tahap Kategori 1 dan Kategori 2. Kita sudah beralih ke fasa untuk memberi vaksin kepada para remaja supaya mereka lebih selamat apabila sekolah dibuka untuk sessi kelas bersemuka pada bulan Oktober.

PERJANJIAN MALAYSIA 1963

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati,

4. Seluruh rakyat Malaysia harus memahami signifikan tarikh 16 September dalam lipatan sejarah negara. Kerajaan Persekutuan telah mengisytiharkan 16 September sebagai cuti umum namun untuk memperingati penubuhan Malaysia dan saya amat berharap langkah ini akan mendorong seluruh rakyat Malaysia untuk memahami dan menghayati signifikan tarikh keramat tersebut.

Kewujudan kita sebagai sebuah negara yang terdiri daripada tiga wilayah harus didasarkan kepada semangat hormat-menghormati sambil mengenali hak dan keistimewaan yang telah termaktub dalam Perlembagaan berdasarkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan Suruhanjaya Cobbold.

Dalam perjalanan selama 58 tahun, terdapat perkara-perkara yang tidak dilaksanakan mengikut Perlembagaan dan MA63 dan harus dibawa ke meja rundingan sebagai sebuah Keluarga Malaysia yang besar.

Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sudah mengadakan rundingan sejak 2015 lagi dan rundingan akan terus diadakan. Saya amat berharap inisiatif untuk terus berunding mengenai Perjanjian Malaysia 1963 seperti yang terkandungan dalam Memorandum Persefahaman Transformasi Kestabilan Politik (MOU) antara Kerajaan Persekutuan dan pihak pembangkang pada 13 September yang lepas akan membawa kepada hasil menang-menang kepada pihak Negeri dan Persekutuan.

Distinguished guests, ladies and gentlemen,

Considerable achievements have been made to reinstate state powers which had been eroded over the years back to the state or accord empowerment to the state in certain areas. These include:

(i) Authorizing State Legal Officers as authorized by the Public Prosecutor under the Criminal Procedure Code to conduct prosecution for offences under state ordinances from the stage a person is charged in the lower court until the appeal stage;

(ii) Increasing the number of posts in the Sarawak Immigration Department to improve the department’s enforcement functions in the State with the creation of 100 new posts.

(iii) Increasing the ratio of Sarawak-born teachers serving in Sarawak to about 90% of the total number of teachers in Sarawak. To ensure that this target is achieved, temporary teachers from the open market are to be considered from time to time.

(iv) The State Government will be consulted in the drafting of Federal legislation which has bearing or impact on the State Government of Sarawak, where provided by law; and

(v) The planning of federal development projects in Sarawak is to give priority to the 5-Year Sarawak State Development Plan based on the approved budget. Implementation of the projects will be referred or negotiated between the Ministry and the State Government such as determining the location of schools, hospitals and the implementation of other development projects, particularly rural areas.

Saudara dan saudari sekalian yang saya hormati,

Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia pada tahun ini, saya ingin juga melaporkan beberapa kejayaan kita untuk mendapat balik hak-hak lain yang telah terhakis sama ada sengaja atau sebaliknya.

(i) Mengenai Royalti Minyak dan Pembayaran Tunai (Oil Royalty & Cash Payment)
Pada tahun 2019, sebuah Jawatankuasa Bersama antara Kerajaan Persekutuan, Negeri Sarawak dan Negeri Sabah telah ditubuhkan dan dipengerusikan bersama oleh Menteri Kewangan dan Menteri Kanan untuk Kerja Raya bagi membincangkan tuntutan Negeri Sarawak dan Sabah berkaitan dengan minyak dan gas melalui penyelesaian komersial tanpa melalui proses perundangan.

Setelah setahun rundingan aktif antara Negeri dan PETRONAS, pada 7 Disember 2020, Perjanjian Penyelesaian Komersial atau CSA telah ditandatangani antara Negeri Sarawak dan PETRONAS.

Sehingga kini, terma dan syarat Perjanjian telah dilaksanakan oleh kedua-dua pihak di mana hak Sarawak dalam industri minyak dan gas di daratan dan luar pantai Sarawak diambil kira. Dalam hal ini penglibatan Sarawak melalui PETROS telah dimetrai dengan PETRONAS.

(ii) Mengenai Pengedaran Gas (Gas Distribution)

Kerajaan Persekutuan juga telah bersetuju dengan permohonan Kerajaan Sarawak untuk dikecualikan daripada keperluan untuk mendapatkan kebenaran di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 [Akta 144] dan pelesenan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi menjalankan aktiviti pengedaran gas di Sarawak.

Pemberitahuan Pengecualian (Pindaan) 2021 di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 [Akta 144] dan Perintah Kawalan Bekalan (Pengecualian) 2021 di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] telah dibuat dan diwartakan dan berkuatkuasa mulai 1 Jun 2021.
Pada 9 September lepas, satu Majlis Penyerahan Surat Pengecualian Kawal Selia LPG Negeri Sarawak juga telah diadakan di mana Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah menyerahkan surat tersebut kepada pihak Negeri.

(iii) Mengenai Alam Sekitar

Mengenai kuasa ke atas pengurusan alam sekitar, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju secara prinsip untuk memberi kuasa penguatkuasaan seperti yang terkandung dalam Akta Kawalan Kualiti Alam Sekitar (1974) kepada pegawai-pegawai Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) yang mengoperasikan Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar (Pindaan) 2019. Pihak NREB dan Kementerian Alam Sekitar akan menentukan kaedah implementasi pemindahan kuasa tersebut.

(iv) Kerajaan Sarawak juga telah mencadangkan pindaan kepada perkara 1(2) dan perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan yang membabitkan perbincangan untuk meminda dan mengkukuhkan kedudukan Sarawak di dalam perlembagaan mengikut Perjanjian Malaysia 1963. Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak telah mengemukakan ulasan bertulisnya pada 30 Mac 2021 manakala Jabatan Peguam Negara telah mengemukakan ulasan bertulisnya pada 2 April 2021 kepada Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak dan Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah.

(v) Mengenai Perkara 112 (d) berkaitan dengan pemberian khas kepada Sarawak dan Sabah, rundingan sedang dijalankan dengan Kerajaan Persekutuan untuk mengkaji semula kuantum yang harus diperuntukkan kepada negeri mengikut satu formula yang dipersetujui.

KEBEBASAN BERAGAMA

Saya juga ingin menyentuh mengenai kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Dalam menjamin hak tersebut, Negeri Sarawak di bawah pentadbiran Kerajaan GPS berada selangkah di hadapan dengan pelaksanaan inisiatif di bawah UNIFOR yang telah menghulurkan bantuan yang agak besar kepada agama-agama bukan Islam di negeri ini.

Semenjak ditubuhkan pada 2017, Kerajaan GPS telah menyumbangkan sebanyak RM165 juta untuk pembinaan rumah-rumah ibadah agama lain di negeri ini.

Ini tidak termasuk RM15 juta untuk pengurusan dan operasi sekolah-sekolah mubaligh, RM70 juta untuk Ibu Pejabat UNIFOR di Jalan Ong Tiang Swee dan RM5 juta pada tahun ini untuk pengurusan rumah-rumah ibadah yang terkesan oleh pandemik COVID-19. Kerajaan GPS tidak hanya menolak unsur-unsur yang bercanggah dengan jaminan kebebasan agama yang banyak dipolemikkan kebelakangan ini tetapi terus memastikan kebajikan agama-agama lain sentiasa terpelihara. We walk the talk.

PENUTUP

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati,

Bersempena Sambutan Perayaan Hari Malaysia pada tahun ini, kita sama-sama berdoa agar Keluarga Malaysia yang besar yang terdiri daripada Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah akan terus memperkukuhkan iltizam untuk mempastikan negara ini terus stabil dan maju.

Sebagai Ketua Kerajaan GPS, saya ingin memberi jaminan bahawa Kerajaan Sarawak akan terus berusaha untuk mengembalikan mana-mana hak Sarawak yang terhakis melalui rundingan dengan Kerajaan Persekutuan. Saya mengucapkan terima kasih kepada pimpinan YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob yang terus menunjukkan keprihatinan Kerajaan Persekutuan terhadap aspirasi rakyat di Sarawak.

Sebagai mengakhiri ucapan, saya ingin sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Berbahagia Toh Puan yang telah sudi hadir bersama rakyat dalam majlis yang penuh makna pada malam yang berbahagia ini.

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru