Saturday, January 22, 2022

Majlis Keselamatan tentukan Sarawak boleh masuki fasa endemik atau tidak

Secara Rawak

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, keputusan sama ada Sarawak boleh memasuki  fasa endemik atau tidak masih bergantung pada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bagaimanapun, jelasnya,  langkah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS)  melonggarkan  syarat kepada mereka yang  lengkap dua dos vaksin Covid-19 datang ke Sarawak daripada kuarantin   merupakan antara persediaan negeri ini ke arah fasa endemik.

“JPBNS  beri kelonggaran  kepada mereka yang  sudah  terima lengkap dua dos vaksin datang ke Sarawak tanpa perlu kuarantin sebagai persediaan  beralih ke fasa endemik,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Majma di sini, hari ini.

Sementara itu, Abang Johari berkata, sehingga kini Sarawak masih mencatatkan jumlah kes harian Covid-19 dalam lingkungan 3,000 kes.

Sehingga semalam, Sarawak sudah merekodkan 167,012 kes jangkitan.

Jelas beliau, jumlah  kes  harian itu termasuk kes-kes tunggakan.

“Itulah angka kita tinggi kerana terdapat banyak saringan dijalankan bulan lepas dan keputusannya hanya dikeluarkan sekarang,”  katanya.

Kata beliau lagi, kebanyakan kes herkenaan adalah dalam kategori tidak bergejala dan bergejala ringan.

“Kadar kemasukan ke hospital kita juga rendah,  menandakan kita beralih ke arah  fasa endemik,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru