Friday, October 22, 2021

195,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi menjelang 2030 di Sarawak

Mesti baca

KUCHING: Sarawak menyasarkan  dapat mewujudkan 1.5 juta peluang pekerjaan di negeri ini menjelang 2030 melalui pembangunan  bakat dan sumber manusia.

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, sekitar 195,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dapat dicipta melalui agenda tujuh perkara di bawah Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 (PCDS) yang dilancarkan baru-baru ini.

“Dalam konteks pembangunan bakat, dijangkakan 195,000 pekerjaan berpendapatan tinggi dapat diwujudkan bagi menggerakkan sejumnlah 1.5 juta peluang pekerjaan menjelang 2030,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran Program GETS 4.0 secara hibrid di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini, pada Rabu.

Katanya lagi,  PCDS merupakan strategi jangka panjang yang memberi tumpuan kepada usaha membangunkan sosioekonomi Sarawak melalui agihan kekayaan yang saksama melalui peluang pekerjaan dan perniagaan yang diwujudkan.

Sementara itu, beliau menjangkakan bahawa budaya bekerja dari rumah dan jadual kerja yang luwes akan  menjadi pilihan paling sesuai pasca-Covid-19.

Justeru, menurut  Abang Johari Tun Openg,  syarikat dan organisasi perlu memperbanyak latihan mengenai teknologi bagi membantu pekerja meningkatkan kemahiran untuk disesuaikan dengan tuntutan persekitaran pekerjaan yang berubah.

“Budaya bekerja dari rumah dan mempunyai jadual kerja yang luwes akan menjadi lebih sesuai dan selamat, setidak-tidaknya semasa peringkat endemik Covid-19,” katanya.

Beliau juga menegaskan,  pekerja juga perlu menyesuaikan diri dengan budaya  kerja baharu yang bersikap hibrid, supaya mereka dapat bekerja dari mana-mana dan pada bila-bila masa, dan menyatakan bahawa ketika pandemik dan PKP, banyak pekerja di seluruh dunia bekerja dari rumah.

Secara Rawak

Artikel Terbaru