Tuesday, September 21, 2021

Tingkatkan kemahiran digital pekerja, kata Abang Johari

Mesti baca

KUCHING: Ketua Menteri menjangkakan bahawa budaya bekerja dari rumah dan jadual kerja yang luwes akan  menjadi pilihan paling sesuai pasca-Covid-19.

Justeru, menurut Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,  syarikat dan organisasi perlu memperbanyak latihan mengenai teknologi bagi membantu pekerja meningkatkan kemahiran untuk disesuaikan dengan tuntutan persekitaran pekerjaan yang berubah.

“Budaya bekerja dari rumah dan mempunyai jadual kerja yang luwes akan menjadi lebih sesuai dan selamat, setidak-tidaknya semasa peringkat endemik Covid-19,” katanya.

Beliau juga menegaskan,  pekerja juga perlu menyesuaikan diri dengan budaya  kerja baharu yang bersikap hibrid, supaya mereka dapat bekerja dari mana-mana dan pada bila-bila masa, dan menyatakan bahawa ketika pandemik dan PKP, banyak pekerja di seluruh dunia bekerja dari rumah.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran Program GETS 4.0 secara hibrid di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Menteri berkata, Sarawak akan terus melabur dalam usaha untuk mengembangkan bakat digital, teknikal dan kreatif  bagi mencapai status RI 4.0.

“Strategi Pembangunan 2030 Pasca Covid-19 (PCDS 2030)  telah kita lancarkan baru-baru ini,” katanya.

Beliau menjelaskan ia merupakan strategi penyesuaian semula jangka panjang memfokuskan kepada pembangunan sosioekonomi  dengan  mengagihkan kekayaan  saksama melalui peluang perniagaan dan pekerjaan.

Selain kemahiran digital, terdapat keperluan tinggi untuk kemahiran insani bagi pengurusan projek, pembuatan keputusan, pemikiran kritis, komunikasi, dan perundingan, kata Abang Johari lagi.

Secara Rawak

Artikel Terbaru