Tuesday, September 21, 2021

Negara perlukan 28,000 doktor pakar menjelang 2030

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin  berkata, negara memerlukan sekurang-kurangnya 28,000 doktor pakar menjelang 2030 bagi memenuhi keperluan peningkatan populasi golongan warga emas.

Menurut beliau, pada ketika ini, negara hanya mempunyai 13,000 pakar perubatan termasuk mereka yang berkhidmat dengan hospital swasta.

“Kita memerlukan 28,000 doktor pakar menjelang tahun 2030. Pada ketika ini kita hanya mempunyai 13,000 dan sebab itu menjadi masalah termasuk masa menunggu dan mendapatkan janji temu dengan pakar yang mengambil masa lama,’ kata beliau di Dewan Rakyat, hari ini.

Jelasnya, Kementerian Kewangan harus beri komitmen supaya kita dapat melatih doktor untuk menjadi pakar bagi memenuhi keperluan 10 tahun akan datang, yang mana beban penyakit akan meningkat disebabkan masyarakat yang semakin menua di Malaysia dan insiden penyakit tak berjangkit  yang semakin tinggi

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Rosnah Aluai (PH-Tangga Batu) berkaitan rintihan pesakit yang terpaksa menunggu berjam-jam atau berbulan-bulan untuk berjumpa dengan doktor pakar.

Mengenai rancangan kerajaan untuk menjamin masa depan doktor kontrak supaya mereka tidak mengalami brain drained pada masa akan datang, Ahli Parlimen Rembau itu menjelaskan peningkatan mendadak siswazah perubatan sejak 2016 menyebabkan wujud masalah melantik mereka dengan jawatan tetap dalam perkhidmatan awam.

Katanya,  antara 2009 dan 2015, jumlah siswazah perubatan hanya sekitar 3,000 setahun, tetapi jumlah itu meningkat kepada 5,000 hingga 6,000 orang setiap tahun sejak 2016.

Secara Rawak

Artikel Terbaru