Tuesday, September 21, 2021

MoU Kerajaan-PH: Manifestasi politik matang

Mesti baca

KUCHING: Pemuda Pas percaya Perjanjian Persefahaman (MoU)  antara kerajaan dengan Pakatan Harapan  ialah suatu manifestasi kematangan politik, serta kesediaan semua pihak mengenepikan persengketaan bagi melaksanakan apa yang terbaik untuk negara. 

Menurut Ketuanya Khairil Nizam Khirudin, perjanjian ini juga selaras dengan titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya semua parti politik menghentikan persengketaan dan memberi tumpuan untuk membantu rakyat, terutama dalam fasa Covid-19.

“Walau bagaimanapun, Pemuda PAS memberi peringatan, dan menegaskan supaya setiap cadangan transformasi yang hendak dilaksanakan selaras dengan Memorandum Persefahaman ini, hendaklah mengambil kira sentimen masyarakat tempatan, serta tidak melaksanakan sesuatu yang boleh menggugat perpaduan kaum dan keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan. 

“Pelaksanaan setiap butiran dalam pelan transformasi juga hendaklah dilaksanakan dengan berhati-hati, dan tidak merugikan mana-mana pihak,” tegasnya.

“Pelaksanaan Memorandum Persefahaman ini juga hendaklah meraikan semangat demokrasi berparlimen, serta tidak mengganggu gugat peranan Ahli Parlimen Pembangkang, serta Ahli Parlimen Penyokong Kerajaan dalam melaksanakan peranan semak dan imbang di dalam Dewan,” tambahnya. 

Jelasnya, MoU ini tidak boleh digunakan untuk menutup dan mendiamkan perkara yang salah, sekiranya dilakukan oleh kerajaan. 

“Peranan Parlimen sebagai tempat semak dan imbang harus dihormati dan dijunjung sepenuhnya oleh semua pihak,” katanya.

Kata Khairil Nizam lagi, Pas juga menyeru semua pihak yang memeterai MoU  ini, supaya komited dengan segala isi perjanjian yang terkandung, dan tidak menjadikannya sebagai laba politik bagi meraih undi. 

“Keikhlasan semua pihak amat diperlukan, terutama dalam menjunjung titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi memastikan negara terus stabil, serta rakyat terus dibantu tanpa mengira bangsa dan latar belakang,” katanya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru