Sunday, September 19, 2021

Matlamat Pembangunan Mampan diperkenal untuk laksanakan  Agenda 2030

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkenalkan 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) selepas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) secara sebulat suara bersetuju menerima pakai dokumen Transformasi Dunia Kita: Agenda 2030 SDG, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, untuk memenuhi komitmen negara di bawah Agenda 2030 itu, kerajaan menerusi Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri telah membangunkan hala tuju pelaksanaan SDG di peringkat nasional.

Dasar-dasar pembangunan negara telah dijajarkan dengan matlamat SDG dan tadbir urus yang tersusun telah diwujudkan, katanya menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim pada persidangan Parlimen di sini.

Rohani bertanya sejauh manakah pendekatan dan pemahaman Matlamat Pembangunan Lestari diketengahkan dalam kalangan pemimpin peringkat akar umbi, pembuat dasar dan keputusan dalam mencapai tahap ketersediaan indicator SDG negara.

Ismail Sabri memberitahu Dewan Rakyat, sebaik sahaja Malaysia bersetuju melaksanakan SDG, kesemua 17 SDG telah dijajarkan kepada strategi dan bidang keutamaan dalam rancangan pembangunan negara di bawah kajian separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 pada 2017.

Justeru, pelaksanaan projek dan program pembangunan sekali gus dapat menyokong pencapaian SDG di peringkat nasional, negeri dan akar umbi, tegas beliau.

Menurut Perdana Menteri, pelbagai inisiatif dilaksanakan dalam usaha memberikan kesedaran mengenai SDG kepada pemimpin peringkat akar umbi serta pembuat dasar dan keputusan dapat menerima pakai.

Penyediaan data dan statistik di peringkat tempatan penting untuk membantu kerajaan memantau SDG dan memastikan negara sentiasa berada di landasan yang tepat dalam mencapai Agenda 2030, katanya. 

Secara Rawak

Artikel Terbaru