Tuesday, September 21, 2021

Jumlah pengangguran di Sarawak turun

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Sarawak adalah antara tujuh negeri yang menunjukkan penurunan bilangan penganggur pada suku kedua 2021.

Enam negeri lain yang merekodkan penurunan bilangan penganggur pada tempoh sama ialah Sabah, Perak, Kedah, Johor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Saravanan Murugan.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub pada sesi pertanyaan lisan persidangan Parlimen di sini yang ingin tahu berapakah kadar pengangguran rakyat Malaysia mengikut negeri sehingga Ogos tahun ini.

Saravanan memberitahu Dewan Rakyat berdasarkan data terkini Survei Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran rakyat Malaysia pada suku kedua 2021 menurun 0.3 peratus daripada 5.1 peratus kepada 4.8 peratus pada suku kedua 2020.

Beliau berkata, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah mencatatkan kadar pengangguran lebih lapan peratus iaitu masing-masing pada kadar 8.8 peratus dan 8.7 peratus dan bagi tempoh sama, Perlis mencatatkan kadar pengangguran 5.3 peratus manakala enam negeri mencatatkan kadar pengangguran lebih 4.0 peratus iaitu Kelantan 4.8 peratus Kuala Lumpur 4.7 peratus.

Perak, Selangor dan Sarawak masing-masing 4.4 peratus dan Terengganu 4.2 peratus.

Kedah, Pulau Pinang, Johor, Melaka dan negeri Sembilan mencatatkan kadar pengangguran antara 3.5 ke 3.9 peratus manakala kadar pengangguran terendah adalah di Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu 1.7 peratus katanya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru