Tuesday, September 21, 2021

Akibat Covid-19 Banci 2020 dijadualkan semula empat kali

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 telah dijadualkan semula sebanyak empat kali susulan daripada penularan pandemik Covid-19 yang menjejaskan pelaksanaan banci secara bersemuka, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, setakat 12 September 2021, seramai 26 juta penduduk telah dibanci atau 79.7 peratus (%) daripada 32.6 juta jumlah anggaran penduduk tahun 2020.

Banci 2020 akan selesai pada Oktober 2021 dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan memastikan operasi di lapangan selesai 100% pembancian, katanya menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni pada persidangan Parlimen di sini.

Perdana Menteri berkata, selain daripada banci dalam talian (e-Census) dan Computer Assisted Telephone Interview (CATI) yang dilaksanakan secara berterusan, DOSM juga melaksanakan banci bersemuka sehingga 31 Oktober 2021 bagi meliputi baki 20.3% penduduk yang masih belum dibanci.

Banci 2020 pada kali ini berbeza dengan pelaksanaan banci sebelumnya kerana kerajaan negeri terlibat secara sepenuhnya bersama DOSM untuk melaksanakan operasi banci mengikut negeri masing-masing, tegas beliau.

Menurut Perdana Menteri lagi, data banci akan digunakan di peringkat daerah dan akan merancakkan lagi pengurusan pentadbiran di peringkat daerah dan DOSM juga akan menyediakan penerbitan statistik banci bagi kesemua 222 kawasan Parlimen.

Katanya, data pentadbiran daripada pelbagai agensi akan digunakan untuk semakan dan juga melengkapkan bancian. 

Secara Rawak

Artikel Terbaru