Tuesday, September 21, 2021

Agong harap ahli parlimen fokus isu rakyat, kesejahteraan negara

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Al-Mustafa Billah Shah hari ini menasihati Ahli-ahli Dewan Rakyat supaya memberikan keutamaan kepada kemaslahatan rakyat dan kesejahteraan negara pada sesi sidang Parlimen yang kini sedang berlangsung.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsudddin dalam satu kenyataan hari ini berkata, Al-Sultan Abdullah turut menasihati Ahli-ahli Dewan Rakyat supaya mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik COVID-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat dan negara.

“Baginda turut menzahirkan keyakinan bahawa selari dengan kestabilan politik dan peningkatan kadar vaksinasi penduduk serta bantuan tambahan oleh Kerajaan, proses pemulihan ekonomi negara dapat dipercepat.

“Bahkan, faktor-faktor tersebut juga ialah kunci  keyakinan semua pihak yang berkaitan dan para pelabur,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Fadil berkata, Baginda menegaskan Kerajaan perlu mempercepatkan penggubalan dasar-dasar yang mesra perniagaan dan pelaburan bagi meningkatkan lagi daya saing negara.

“Seri Paduka Baginda mengambil kesempatan ini menyeru seluruh rakyat menzahirkan solidariti dan sokongan padu kepada para petugas barisan hadapan dengan bersama berganding bahu berdisiplin mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) serta semua perintah yang telah ditetapkan Kerajaan.

“Seri Paduka Baginda turut menyeru seluruh rakyat agar bertenang dan bersama Baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah Subhanahu Wata’ala, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” jelasnya

Katanya, Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan bahawa dengan termeterainya MOU Transformasi dan Kestabilan Politik ini, kemelut politik dapat diakhiri dengan segera dan Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat mengetepikan agenda politik dengan bersatu hati serta bersepakat berusaha menangani pandemik Covid-19 demi kepentingan rakyat dan negara.

“Baginda mengulangi pandangan bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan pada ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kelembapan ekonomi akibat pandemik Covid-19,”  katanya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru