Tuesday, September 21, 2021

Kereta bertembung lori di Bau, lelaki maut

Mesti baca

BAU: Seorang lelaki maut selepas kereta jenis kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya terlibat kemalangan dengan sebuah lori di KM 6.5, Jalan Bau-Kuching, di sini, pagi tadi.

Mangsa, 21, bekerja sebagai pembekal makanan maut di tempat kejadian mengalami patah tangan kanan, patah rusuk kanan dan cedera parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supritendan Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan berlaku sekitar jam 9.30 pagi apabila mangsa sedang memandu dari arah Kuching menuju ke Bau.

“Setiba di tempat kejadian, tiba-tiba mangsa telah termasuk ke laluan bertentangan dan berlanggar pada bahagian hadapan lori yang datang dari arah bertentangan.

“Impak kemalangan mengakibatkan kereta mangsa terbabas ke parit kiri jalan manakala lori berkenaan terbabas ke tengah jalan kerana tayar kanan pecah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Alexson berkata, dalam kejadian itu, pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, keadaan jalan di tempat kejadian adalah lurus, berturap dan mempunyai garisan tengah putus-putus sementara cuaca hujan semasa kejadian dan permukaan jalan basah.

Beliau berkata, kenderaan disimpan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau bagi tujuan pemeriksaan Puspakom.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Secara Rawak

Artikel Terbaru