Tuesday, September 21, 2021

Buka sekolah: Menteri Pendidikan pantau sendiri maklum balas

Mesti baca

KUCHING: Menteri Kanan Pendidikan, Dr. Radzi Jidin  berkata, kemasukan murid dan pelajar ke sekolah  pada 3 Oktober nanti dilaksanakan demi memastikan mereka  terus rapat dengan sekolah, dan dapat hadir ke sekolah dalam keadaan yang selamat.

“Saya memantau maklum balas daripada pengumuman pembukaan semula sekolah, pada Ahad. Daripada maklum balas tersebut, didapati ada yang masih menganggap semua sekolah di seluruh negara akan dibuka pada 3 Oktober,” katanya melalui video yang dimuat naik di media sosial beliau.

“Bagi negeri Fasa Satu PPN, tiada sekolah dibuka,” kata beliau.

Jelas Dr. Radzi, untuk negeri Fasa Dua PPN, bagi sekolah rendah, hanya Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang akan masuk ke sekolah. Kemudian, untuk sekolah menengah, hanya murid Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) semester dua yang akan ke sekolah kerana mereka akan menduduki peperiksaan pada akhir Oktober nanti.

“Bagi negeri Fasa Tiga PPN, selain murid MBK di SKPK dan PPKI, kita juga akan masukkan murid prasekolah ke sesi persekolahan secara bersemuka. Untuk sekolah menengah pula, selain murid STPM semester dua, semua murid tingkatan lima dan murid STPM yang lain akan hadir ke sekolah,” ujar beliau seperti dipetik Jendela DBP.

Katanya lagi, di negeri Fasa Empat PPN, untuk dua minggu pertama, iaitu pada 3 hingga 17 Oktober nanti, murid yang akan berada di sekolah rendah sama seperti murid di negeri Fasa Tiga PPN.

“Hanya selepas 17 Oktober, kita akan tambah kehadiran murid tahun satu, dua dan tiga. Kemudian, pada 31 Oktober, murid tahun empat, lima dan enam pula akan hadir ke sekolah,” jelasnya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru