Sunday, September 19, 2021

Adakah orang utan di Sarawak perlu divaksin?

Mesti baca

KUCHING: Perbadanan Hutan Sarawak (SFC) tidak merancang untuk menyuntik vaksin Covid-19 kepada orang utan di Pusat Hidupan Liar Semenggoh dan Pusat Hidupan Liar Matang.

Ketua Pegawai Eksekutif SFC Zolkipli Mohamad Aton berkata, buat masa ini tiada keperluan untuk memvaksin orang utan di kedua-dua pusat hidupan liar berkenaan, yang merupakan antara destinasi tarikan pelancongan di negeri ini kerana tidak terdedah kepada orang.

“Pusat Hidupan Liar Semenggoh dan Pusat Hidupan Liar Matang telah ditutup kepada pengunjung sejak hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan orang utan tidak ada kontak rapat dengan orang.

“Bilangan renjer hidupan liar yang menjaga kedua-dua pusat hidupan liar ini juga dikurangkan. “Maka buat masa sekarang, kami tiada perancangan untuk memvaksin mereka,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menambah, pihaknya juga memantau rapat semua orang utan di kedua-dua pusat hidupan liar berkenaan dan setakat ini, tiada tanda jangkitan Covid-19 dikesan.

Menurutnya, terdapat 25 orang utan di Pusat Hidupan Liar Semenggoh yang hidup secara bebas iaitu boleh keluar dan bergerak di kawasan hutan lain sama ada untuk hidup atau mendapatkan makanan.

“Di Puat Hidupan Liar Semenggoh, Orang Utan adalah bebas tetapi kadang-kadang pulang semasa waktu makan,” katanya. Manakala di Pusat Hidupan Liar Matang, Zolkipli berkata, terdapat 19 oran utan di situ, yang dijaga secara rehabilitasi.

“Pada siang hari, mereka akan dikeluarkan dari kandang dan masuk balik ke dalam kandang pada waktu malam tetapi mengikut giliran. “Mereka tidak dapat dikeluarkan semua sekali kerana takut bergaduh,” katanya.

Zolkipli berkata, Pusat Hidupan Liar Semenggoh dan Pusat Hidupan Liar Matang kini masih ditutup dan belum ada perancangan untu dibuka semula kepada pengunjung.

“Mungkin ia dapat dibuka semula apabila Kuching beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memberi kebenaran,” katanya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru