Sunday, September 19, 2021

70 gelandangan lengkap divaksin

Mesti baca

KUCHING: Seramai 11 gelandangan lelaki dan seorang perempuan di sekitar bandar raya ini sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 menerusi Program Vaksinasi Komuniti Gelandangan Bahagian Kuching.

Setiausaha Eksekutif Majlis Pembangunan Sosial (MPS) Sarawak Dr Zufar Yadi Brendan Abdullah berkata, program yang bermula pada 5 Ogos lalu itu, setakat ini berjaya memberi suntikan dos pertama kepada 31 gelandangan.

“Operasi malam ini dijalankan secara bergerak dengan pasukan melakukan vaksinasi di lokasi gelandangan yang telah dikenal pasti sudah menerima dos pertama. “Antara lokasi ialah Panggung Udara Tebingan Kuching, Open Air Market, Balai Polis Padungan, Jalan Laksamana Cheng Ho, Kenyalang Park, kawasan Premier 101, Batu 4 berdekatan Everrise dan Matang Jaya,” katanya selepas Program Vaksinasi Komuniti Gelandangan bagi dos kedua di sini, malam Sabtu.

Tambahnya, Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KKWPK) dengan kerjasama sembilan agensi berkaitan akan berusaha memastikan tiada gelandangan yang ketinggalan menerima vaksin demi mencapai imuniti kelompok.

“Kami menggunakan tiga pendekatan bagi menjayakan program, yang pertama dengan menempatkan mereka di Pusat Penempatan Sementara Gelandangan (PPSG) untuk diberikan kedua-dua dos vaksin hingga selesai.

“Kedua, membawa gelandangan yang mampu memberi kerjasama ke PPV. Ketiga dengan cara bergerak iaitu bagi mereka yang mempunyai isu kesihatan mental dan sukar memberi kerjasama untuk dibawa ke PPV,” jelasnya.

Ujarnya, antara cabaran yang hadapi adalah status kesihatan gelandangan seperti berada dalam pengaruh dadah, isu kesihatan mental, masalah dokumen pengenalan diri dan tidak berada di PPSG ketika pemberian dos kedua vaksin.

Sementara itu KWKPK dalam kenyataan menjelaskan, setakat 5 September lalu, seramai 121 gelandangan dikenal pasti dan didaftar melalui operasi cerapan gelandangan di semua bahagian berkaitan.

Untuk tempoh sama, sebanyak 84 peratus atau 101 gelandangan telah divaksin dengan mendapat sekurangkurangnya dos pertama. “Manakala sebanyak 69 peratus atau 70 gelandangan sudah lengkap menerima dua dos vaksin iaitu 23 orang di Miri, Sibu (28), Kapit (7), Sarikei (7), Serian (3) dan masing-masing satu di Samarahan dan Betong.

Selepas ini, Bahagian Bintulu pula akan menjalankan operasi vaksinasi untuk 18 gelandangan yang dijangka bermula pada 18 September. KWKPK turut memberitahu, Kerajaan Sarawak telah meluluskan penubuhan Tempat Transit Gelandangan (TTG) dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Kuching, Miri, Sibu, dan Bintulu.

TTG Sibu telah mencapai 84 peratus proses baik pulih dan dijangka siap penghujung September ini, manakala lokasi TTG Bintulu juga sudah dikenal pasti. TTG berfungsi sebagai tempat transit bagi gelandangan untuk membersih diri, makan malam dan tidur sebelum keluar keesokan harinya untuk menjalankan urusan masing-masing.

Di TTG juga mereka dapat diberi rujukan intervensi yang diperlukan untuk menangani isu yang dihadapi; menyertai social enterprise yang disediakan; dan diberi bimbingan dan kauseling.

Secara Rawak

Artikel Terbaru