Tuesday, September 21, 2021

Tawaran PM ke arah demokrasi progresif di Malaysia

Mesti baca

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri dalam ucapan awam sulungnya pada 22 Ogos lalu memberi ruang kepada pemimpin pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Semalam pula beliau mengumumkan tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran bertujuan untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Tujuh tawaran itu tidak berbeza daripada tawaran yang dikemukakan oleh Perdana Menteri kelapan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Bezanya, Muhyiddin mengemukakannya pada hujung pentadbirannya ketika nafas politik berada di hujung tanduk. Sebaliknya, Ismail Sabri membuat tawaran itu pada awal pentadbirannya.

Tawaran Muhyiddin cuba dipertikaikan pembangkang, malah ditolak mereka, sehingga akhirnya Presiden Bersatu itu tersungkur dari kerusinya di Putrajaya kerana dianggap sudah terlalu lewat dan tidak ikhlas. Namun, Ismail Sabri dari awal lagi sudah memperlihatkan kesediaannya untuk bersikap inklusif dan terbuka. Keikhlasan beliau dalam membuat tawaran bersejarah itu tidak harus dipertikaikan.

Beliau menjelaskan Jemaah Menteri mempersetujui melakukan beberapa transformasi termasuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun, Rang Undang-undang Antilompat Parti, pelaksanaan Undi18, dan keseimbangan keanggotaan dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Sesungguhnya, tawaran dan komitmen kerajaan itu selaras dengan titah dan nasihat Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mengenai pentingnya sebuah pentadbiran yang stabil dan dapat berfungsi secara biasa dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis.

Tidak dinafikan jika tawaran itu diterima ini sudah pasti akan dapat mewujudkan lanskap politik baharu dengan melaksanakan transformasi dan pembaharuan dalam tatakelola pentadbiran kerajaan khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen. Transformasi institusi dan perlembagaan yang ditawarkan itu pasti akan membuka lembaran baharu kepada politik dan amalan demokrasi di negara ini.

Kalau kita hendak memastikan negara ini berada di atas landasan yang betul dari segi demokrasi, dan jika kita mendambakan demokrasi matang, inilah sebenarnya antara pembaharuan yang perlu diperkenalkan. Bukankah ini juga yang dituntut oleh pembangkang, malah sebahagiannya dimasukkannya dalam manifesto menjelang Pilihan Raya Umum 2018? Jadi, tidak ada sebab untuk pembangkang menolak tawaran yang menggiurkan itu.

Pembangkang tidak perlu memberi pelbagai alasan atau mencari helah atau mempertikaikan tawaran itu kalau memang mereka jujur mahu melihat pembaharuan itu dilaksanakan. Kecualilah, ya, mereka mempunyai agenda dan motif politik yang tersembunyi. Untuk itu, mereka peru merebut peluang itu tanpa sebarang syarat.

Transformasi yang dinyatakan itu sebenarnya sudah terlambat, tetapi tidaklah terlalu lambat. Ketika sesebuah kerajaan itu stabil dan mempunyai majoriti besar dan kukuh, ia tentu keberatan untuk memikirkan dan menawarkan transformasi sedemikian.

Namun, apabila majoriti tipis dan disebabkan desakan pembangkang, masyarakat sivil dan pelbagai pihak yang celik politik, maka tawaran berkenaan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Bukan sahaja demi kebaikan parti politik dan rakyat, tetapi juga demi kebaikan masa depan negara pada jangka panjang.

Pemimpin politik boleh datang dan pergi, tetapi sistem dan institusi yang telus dan baik, tentu akan membawa banyak manfaat kepada negara pada masa depan. Perubahan politik, institusi, undang-undang, malah perlembagaan dalam tempoh 60 tahun lalu sebahagiannya adalah disebabkan desakan pembangkang dan masyarakat sivil, selain keazaman kerajaan sendiri.

Perjalanan demokrasi ialah perjalanan yang panjang dan berliku. Amerika Syarikat umpamanya telah membentuk asas demokrasi dan kebebasan sejak 1776 manakala Perancis pula sejak 1789 apabila Revolusi Perancis meletus. Jika negara itu memerlukan lebih 200 tahun sebelum menyaksikan dan menikmati demokrasi matang dan mantap, sudah tentu negara seperti Malaysia juga perlu diberi masa memadai sebelum mencapai tahap sedemikian.

Undang-undang dan sistem bukan diukir di atas batu. Perubahan pasti diperlukan seiring dengan perubahan nilai dan pemikiran tentang sesuatu isu dan perkara. Semua itu dilakukan demi kebaikan rakyat dan negara. Jika kerajaan memang mengutamakan kepentingan rakyat dan negara pada jangka panjang, ia perlu mengubah sistem sedia ada.
Sesuatu sistem biar sejajar dengan perubahan persekitaran dalam negara dan di luar negara.

Jika tidak, kita akan menjadi negara jumud dan akhirnya tertinggal di belakang. Ya, semangat untuk terus menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi yang menjadi teras kehidupan bermasyarakat dan bernegara perlu terus diperagakan.

Kerajaan perlu berusaha untuk memperkenalkan transformasi dari semasa ke semasa, sesuai dengan aspirasi rakyat dan tuntutan negara. Kita tentu mahu dilihat sebagai negara moden yang mengamalkan demokrasi yang progresif, sesuai dengan standard demokrasi di negara-negara maju.

Selama ini ada yang melabelkan demokrasi di negara ini sebagai separa demokrasi, demokrasi terpimpin, pseudo-demokrasi, demokrasi terhad. Malah, ada yang menyifatkan Malaysia mengamalkan sistem bukan demokrasi dan bukan juga juga autoritarian.

Demokrasi sukar berkembang apabila gelanggang permainan terlalu berat sebelah. Dalam keadaan demikian, kerajaan biasanya menggunakan instrumen hegemoni untuk menekan pembangkang. Kita telah menyaksikan bagaimana agensi dan institusi pemerintah yang dimanipulasikan oleh kerajaan menyebabkan kebebasan politik di negara ini terkongkong sehingga demokrasi turut terencat.

Semua ini dilakukan untuk memastikan cengkaman dan survival politik pihak yang memerintah. Unsur yang menyekat dan menghambat proses demokrasi tulen perlu dikikiskan. Dalam konteks inilah, transformasi yang ditawarkan itu amat bermakna, dan perlu direbut oleh pembangkang demi kepentingan semua pihak.

Persefahaman rentas parti membuktikan jiwa besar dan keikhlasan pemimpin yang memikirkan soal kemajuan negara, bukannya untuk menjaga kepentingan peribadi. Cadangan itu ialah peluang untuk membina kerjasama antara parti dan mengembalikan negara ke landasan yang lebih stabil. Kestabilan negara amat penting bagi menjamin kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

Sebarang transformasi dan reformasi institusi dan perlembagaan yang bersifat progresif, hendaklah diterima dengan hati terbuka oleh semua pihak. Permainan dan agenda politik sempit tidak harus diberi tempat. Pembangkang khususnya perlu berjiwa besar dan bersikap profesional. Mereka perlu bersedia untuk memberi dukungan kuat terhadap transformasi yang ditawarkan ini demi kebaikan rakyat dan negara.

Dr Jeniri Amir

Dr Jeniri Amir ialah Profesor Adjung di Universiti Malaysia Sarawak dan Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

Secara Rawak

Artikel Terbaru