Saturday, January 22, 2022

Rintihan penuh duka: Agong terima ratusan surat daripada rakyat

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah  hari ini mendedahkan baginda  menerima ratusan pucuk surat yang diutus oleh rakyat yang mengandungi rintihan penuh duka rakyat yang mengharapkan seribu harapan.

Titah Seri Paduka Baginda lagi, rakyat jelata juga mahukan agar sinar perubahan dapat mereka kecapi dengan segera bagi meneruskan kehidupan seharian seperti biasa.

“Nasihat beta kepada semua ahli yang berhormat; jangan sama-sekali meletakkan masa depan negara dan rakyat beta sebagai taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu,” titah baginda.

Baginda bertitah  demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.  

Baginda menasihati jangan sama sekali meletakkan masa depan negara dan rakyat sebagai taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu.

“Justeru, beta menyeru kepada ahli-ahli yang berhormat sekalian, untuk mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik Covid-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat beta dan negara tanah tumpahnya darah kita,” titah Seri Paduka Baginda lagi.

Baginda juga menggesa semua pihak segera menghentikan pertelingkahan yang boleh menggugat kesepaduan dan keharmonian rakyat.

Titah Al-Sultan Abdullah lagi, terlalu ramai rakyat Malaysia yang terkesan dengan penularan pandemik dan ramai juga yang kehilangan sumber rezeki.

“Ratusan pucuk surat telah beta terima dari rakyat beta yang merintih penuh duka dengan seribu harapan agar sinar perubahan dapat mereka kecapi dengan segera bagi meneruskan kehidupan seharian seperti biasa,” titah Baginda.

Sebelum mengakhiri titah, Seri Paduka Baginda mendoakan agar Malaysia dan rakyat terus diberkati.

“Semoga Malaysia serta rakyat yang beta kasihi akan terus diberkati dan dianugerahkan oleh Allah dengan taufik dan hidayah, aman sentosa serta hidup bersatu padu di bawah lindunganNya,” titah Baginda. 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru