Thursday, December 9, 2021

Pertimbang semula kuarantin wajib 14 hari

Secara Rawak

SRI AMAN: Kerajaan Sarawak bersedia untuk menilai semula Prosedur Operasi Standard (SOP) kuarantin wajib 14 hari untuk setiap individu yang masuk ke negeri ini ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pihaknya akan mempertimbangkan untuk memansuhkan SOP berkenaan jika situasi di negeri ini mengizinkan.

“Sehingga hari ini kita masih menggunakan sistem kemasukan sedia ada. Kemasukan dari luar Sarawak akan menjalani kuarantin wajib 14 hari. “Pada masa sama, kita akan mempertimbangkan dari semasa ke semasa dengan melihat situasi di Sarawak apabila kita beralih ke endemik.

“Jika keadaan sudah pulih, maka, kebanyakan SOP yang sedang dikuatkuasakan oleh JPBNS akan dibubarkan. Namun kita belum boleh mengumumkannya sekarang,” jelasnya pada sidang media bersama-sama Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sini di Sri Aman, pada Sabtu.

Sementara itu, Abang Johari pada sidang media sama menegaskan, Kerajaan Sarawak sentiasa mengawasi keadaan kesihatan di negeri itu sebelum sebarang keputusan berkenaan pembubaran beberapa SOP dibuat.

“Kita sedang mengawasi keadaan kesihatan di dalam negeri. Sekarang ini kebanyakan kes berada pada kategori satu dan dua. “Jika Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yakin situasi ini membolehkan Sarawak melonggarkan SOP yang ditetapkan, kita kemudian menilai semula perkara berkaitan terutama dari segi peraturan kemasukan ke Sarawak,” katanya.

Terdahulu, beliau meninjau pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 melibatkan seramai 615 remaja berumur 16 dan 17 tahun di Dewan Suarah Sri Aman. Secara keseluruhan, seramai 7,083 pelajar berusia 12 hingga 17 tahun divaksin secara berperingkat-peringkat termasuk yang tidak bersekolah dan OKU.

Untuk rekod, sehingga 9 September, seramai 7,041 remaja di semua bahagian di negeri ini menerima suntikan vaksin jenis Pfizer yang dijangka selesai pada minggu keempat Oktober depan.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bawah 18 tahun bermula 8 September lalu menyasarkan pemberian vaksin kepada seramai 289,200 remaja bersamaan 10.3 peratus daripada seluruh populasi negeri ini.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru