Saturday, October 23, 2021

Optimis pulih menjelang endemik

Mesti baca

SRI AMAN: Kerajaan Sarawak optimis lebih banyak sektor ekonomi dibuka menjelang transisi negeri ini menuju fasa endemik.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg juga yakin sektor ekonomi yang akan dibuka secara berperingkatperingkat selari dengan kejayaan perjalanan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di negeri ini.

“Kita akan melihat bagaimana kesan program imunisasi kepada tahap kesihatan rakyat. “Jika sudah lengkap sasaran atau meningkat imuniti kelompok dalam masyarakat dan jangkitan menurun, kita berupaya untuk membuka sektor ekonomi.

“Kita mesti belajar hidup dengan Covid-19, kes jangkitan positif di Sarawak kini melebihi angka 3,000 kes sehari namun kebanyakannya kategori satu dan dua yang merangkumi 99 peratus dan tidak bergejala.

“Jika keadaan ini berlanjutan, bermakna Sarawak akan melangkah ke peringkat endemik  dengan ketahanan tubuh yang tinggi, jangkitan yang tidak serius.

“Namun masih perlu hidup dengan SOP tertentu terutamanya dengan penyakit yang lain,” katanya pada sidang media selepas melawat Tebingan Sri Aman, semalam.

Jelas Ketua Menteri, beberapa sektor ekonomi seperti sektor pembinaan dan makanan sudah mula beroperasi. “Ia dapat dilaksanakan dengan penguatkuasaan SOP yang dikhaskan termasuk mewajibkan operator dan pelanggan mengambil dua dos lengkap vaksin sebelum berurusan,” katanya.

Pada masa sama Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata, pusat ujian saringan Covid-19 di negeri ini masih mampu menampung peningkatan ujian saringan kendiri rakyat.

Katanya, walaupun tahap kesedaran masyarakat terhadap keperluan untuk melakukan ujian saringan meningkat, ia tidak membebankan kekuatan pasukan dan sistem kesihatan sedia ada.

“Setakat hari ini semua pusat ujian saringan yang kita ada masih boleh melakukan ujian saringan seperti biasa. “Malah jika ada positif dan berada pada kategori satu dan dua, kebanyakannya diarahkan menjalani kuarantin di rumah dan akan dipantau sehari dua kali secara maya.

“Kalau mereka tidak memberi maklum balas maka pasukan kita akan pergi meninjau ke kediaman pesakit,” katanya Untuk makluman, pelaksanaan fasa tiga kawalan pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Sarawak masih dilaksanakan mengikut zon yang ditetapkan.

Penangguhan PPN dilaksanakan di Zon Selatan yang merangkumi Daerah Kuching, Bau, Lundu, Samarahan, Simunjan, Asajaya, Serian dan Tebedu dan akan digugurkan sehingga penularan kes Covid-19 menunjukkan trend penurunan memuaskan di daerah berkenaan.

Secara Rawak

Artikel Terbaru