Thursday, December 9, 2021

Agong titah semua pihak amalkan demokrasi bermusyawarah

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati semua pihak supaya mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa-apa jua permasalahan yang dihadapi.

“Justeru, beta menyambut baik keterbukaan kerajaan dengan memberi peluang kepada pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen untuk melibatkan diri dalam tadbir urus negara,” titah baginda  ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat, hari ini.

“Beta turut menyambut baik dan amat menghargai usaha-usaha ke arah merealisasikan pendekatan baharu kerjasama dwipartisan antara semua pihak, yang bakal membentuk lanskap politik baharu dan membawa perubahan dalam sistem pentadbiran negara,” titah Al-Sultan Abdullah.

Tambah Seri Paduka Baginda, kematangan seperti itulah yang didambakan oleh seluruh rakyat.

Jelas Al-Sultan Abdullah, hanya menerusi perpaduan; kesepakatan dan kebersamaan yang erat bagaikan sebuah “Keluarga Malaysia” sahajalah; negara akan dapat mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan yang bakal ditempuh.

 Al-Sultan Abdulah berharap kerajaan yang baru dbentuk  segera melipatgandakan usaha untuk memerangi pandemik Covid-19, dan membawa negara serta rakyat keluar dari ancaman pandemik.

“Menerusi amalan budaya kerja berprestasi tinggi dan tumpuan untuk mencapai sasaran jangka pendek dan panjang; beta percaya kerajaan ini mampu membuktikan pencapaian awalnya dalam tempoh 100 hari pertama,” titah baginda lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru