Saturday, October 23, 2021

Kaji semula Sukma tiada penonton

Mesti baca

ASAJAYA: Keputusan perancangan menetapkan tiada penonton di Sukma Johor 2020 perlu dikaji semula berikutan negara akan memulakan fasa endemik yang dijangka bermula akhir Oktober ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah memberitahu, cadangan yang dikeluarkan oleh Menteri Belia dan Sukan Negara Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu itu mungkin terlalu awal untuk ditetapkan.

Justeru katanya, cadangan tersebut perlu dipertimbangkan semula atau diumumkan beberapa minggu sebelum temasya itu bermula selaras dengan pemerhatian semasa wabak pandemik itu nanti.

“Sebagai salah seorang peminat sukan serta tidak juga ketinggalan dalam mengikuti Liga Bola Sepak luar negara, saya melihat stadium mereka kini dipenuhi beribu penonton biar pun baru 60 hingga 70 peratus daripadanya sudah divaksin.

“Harapan saya apabila masuk ke fasa endemik nanti, segala aktiviti khususnya sukan boleh terbuka sedikit dengan membenarkan kehadiran penonton,” katanya.

Menurut beliau, dengan adanya kehadiran penonton di laman aksi temasya Sukma itu sudah pasti mampu menyemarakkan lagi semangat atlet-atlet untuk bertanding.

Jelasnya, suasana sedemikian turut menjadi pembakar semangat para atlet untuk merasai pengorbanan sebenar hasil kemenangan di setiap bidang sukan yang diceburi masing-masing.

Terdahulu, Ahmad Faizal mendedahkan kemungkinan Sukma turut diadakan tanpa kelibat penonton.

Kajian terperinci berkaitan perkara itu sedang dipertimbangkan setelah mengambil kira atlet bawah 17 tahun yang belum divaksinasi akan turut menyertai temasya yang akan berlangsung di Johor tahun depan.

Secara Rawak

Artikel Terbaru