Tuesday, September 21, 2021

Aktiviti lombong wang kripto di Miri terbongkar

Mesti baca

MIRI: Kegiatan memlombong mata wang kripto di sebuah rumah di Jalan Bakam di sini telah terbongkar setelah diserbu oleh Sarawak Energy Berhad dan polis dalam satu operasi bersama baru-baru ini.

Sarawak Energy Berhad berkata, dalam serbuan tersebut turut menemui sejumlah 49 unit mesin melombong mata wang kripto bernilai RM245,000 serta sebuah modem internet.

Katanya, pasukan teknikal Sarawak Energy ketika menjalankan pemeriksaan pada rumah terbabit turut mendapati terdapat kecurian elektrik berlaku melibatkan penyambungan kabel secara haram dari wayar utama yang dihubungkan terus ke mesin melombong maya wang kripto.

Tambahnya, pasukan penyiasat turut menemui penyambungan haram yang disembunyikan disebalik siling premis.

“Aktiviti melombong mata wang kripto dalam premis ini menyababkan Sarawak Energy Berhad mengalami kerugian kecurian elektrik sebanyak RM8,200 sebulan.

“Kesemua mesin melombong mata wang kripti telah dirampas oleh polis dan pendawaian kabel secara haram turut dirampas sebagai bahan bukti kecurian elektrik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sarawak Energy Berhad berkata, satu laporan polis telah dibuat untuk siasatan lanjut.

Sementara katanya, pemilik premis akan didakwa atas kesalahan mencuri elektrik iaitu satu kesalahan di bawah Seksyen 33(5) Ordinan Elektrik yang boleh dijatuhkan denda RM100,000 dan/ atau lima tahun penjara jika didapati bersalah.

Dalam pada itu, Sarawak Energy Berhad berkata operasi perlombongan mata wang kripto memerlukan sejumlah tenaga yang banyak kerana ia beroperasi 24 jam.

Jelasnya, sambungan secara terus boleh menyebabkan beban berlebihan kepada sistem rangkaian elektrik dan menyebabkan gangguan atau voltan rendah yang boleh merosakkan peralatan dan memberi kesan kepada pelanggan terdekat.

“Pendawaian yang rosak mendatangkan bahaya kerana ia boleh menyebabkan kebakaran dan letupan elektrik kepada penghuni,” katanya lagi.

Justeru, Sarawak Energy Berhad ingin mengingatkan pelanggan agar tidak berkompromi dengan keselamatan elektrik kerana mencuri elektrik adalah risiko berbahaya yang tidak menjamin keuntungan cepat.

Katanya, pihaknya komited untuk membendung kecurian elektrik, termasuk di pusat melombong mata wang kripto dan akan terus bekerjasama dengan Kementerian Utiliti dan polis untuk mencari dan mengesan pencuri elektrik ini.

“Pelanggan juga dinasihatkan untuk tidak mempercayai penyedia perkhidmatan yang mengaku dapat mengurangkan bil elektrik atau membenarkan pemilik premis menikmati elektrik tanpa had melalui gangguan meter.

“Pasukan pemeriksaan meter telah dilatih untuk mengesan meter yang diubah, termasuk penutup meter elektrik palsu, sebagai sebahagian daripada usaha Sarawak Energy untuk membendung kecurian elektrik,” ujarnya.

Sarawak Energy turut mengalakkan orang ramai untuk melaporkan sebarang aktiviti perlombongan mata wang kripto yang disyaki di kawasan kejiranan atau di kawasan bangunan terbengkalai ke pusat perkhidmatan pelanggan Sarawak Energy di talian 1300-88-3111 atau e-mel di customercare@sarawakenergy.com. Semua maklumat yang diterima akan dirahsiakan.

Secara Rawak

Artikel Terbaru