Tuesday, September 21, 2021

Sarjana Sains Sukan, Pendidikan Jasmani bermula bulan depan

Mesti baca

KUCHING: Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) akan berkerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi menganjurkan Program Sarjana Dalam Pendidikan Jasmani dan Sarjana Dalam Sains Sukan yang akan bermula pada bulan Oktober depan.

Program yang selari ini adalah untuk memberi semangat serta peluang sekali gus mengasah bakat dan kemahiran komuniti Sarawak dalam bidang sukan.

Peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana ini terbuka kepada semua, terutamanya rakyat Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif SSC, Dr. Ong Kong Swee menerusi kenyataan dikeluarkan semalam berkata, UPM merupakan satu- satunya universiti tempatan yang mempunyai ramai tenaga pengajar yang pakar dalam bidang Sains Sukan dan Pendidikan Jasmani.

Tegas Dr Ong, menerusi kolaborasi dan kerjasama dengan UPM akan dapat meningkatkan serta memperkembangkan lagi Research & Development (R&D) dalam Sains Sukan di SSC serta Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) serta bidang sukan di negeri ini.

Beliau memberitahu, Unit Prestasi Tinggi (HPU) dan Bahagian Pembangunan Sukan SSC juga akan mendapat kelebihan atas dasar kerjasama bersama pakar rujuk Sains Sukan dari UPM bagi memastikan perkembangan atlet dan jurulatih sentiasa berada pada tahap yang lebih tinggi.

“Kemudahan yang terdapat di SSC akan digunakan dengan semaksima mungkin bagi menjayakan program Sarjana terbabit dan ini mampu memberi peluang kepada atlet mahupun jurulatih untuk berkongsi pendapat serta pengalaman bersama dengan pelajar sarjana, pensyarah bersama penyelidikan UPM yang berkepakaran.

“Saya berharap bagi sesiapa yang berminat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana bagi Program Pendidikan Jasmani dan juga Sains Sukan di Kuching dan Sarawak akan merebut peluang ini secepat mungkin kerana pengambilan bagi bulan Oktober 2021 ini terhad kepada 25 orang sahaja.

“Buat masa ini, hampir setengah kuota yang telah berdaftar,” kata Dr. Ong.

Beliau menyatakan, peluang ini mampu menaik taraf kelayakan dalam sektor sukan dengan mendapatkan kelayakan Pascasiswazah dalam Sarjana Pendidikan Sains Sukan dan Sarjana Pendidikan Sukan Jasmani melalui kerja kursus.

Katanya, kedua-dua program yang ditawarkan ini dilengkapi dengan tiga semester iaitu berlangsung lebih setahun.

Selain itu ujarnya, program tersebut merupakan salah satu peluang untuk memberi kelebihan kepada pelajar-pelajar bagi mendapatkan Pendidikan Sains Sukan dalam Sarawak selain menjimatkan kos transportasi, masa dan sebagainya.

Para pelajar juga diberi peluang untuk menggunakan kemudahan dan fasiliti canggih bertaraf antarabangsa di Kompleks Sukan Sarawak.

“Program Sarjana ini dikendalikan oleh CreaCore Training mewakili pihak UPM berkenaan program Sarjana tersebut.

“Untuk maklumat dan keterangan lanjut, boleh menhubungi Costumer Support ditalian 012- 8576822 dan 017-8532143 atau emel kepada upmsscgraduate@gmail.com.

Secara Rawak

Artikel Terbaru