Tuesday, September 21, 2021

Pengecualian pengedar LPG benarkan Sarawak kawal selia industri gas lebih aktif

Mesti baca

KUCHING: Pengecualian pemakaian Akta Kemajuan Petroleum (PDA) 1974 dan Akta Kawalan Bekalan (CSA) 1961 merupakan pengikitirafan Kerajaan Persekutuan ke atas kapasiti Kerajaan Sarawak untuk mengawal selia dan lebih aktif dalam industri minyak dan gas di negara ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pengecualian yang diberikan juga membolehkan aktiviti pengedaran dan kawal selia gas petroleum cecair (LPG) di Sarawak dijalankan dengan lebih berkesan serta mengurangkan karenah birokrasi.

“Dengan terpakainya Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO 2016) sebagai satu-satunya perundangan/punca kuasa bagi kuasa kawal selia LPG di Sarawak, Kementerian Utiliti juga berperanan memastikan bekalan LPG berjalan dengan lebih lancar,” katanya.

Abang Johari berkata demikian pada Majlis Penyerahan Surat Pengecualian Kawal Selia LPG di Sarawak kepada SEDC Energy Sdn Bhd di Wisma Bapa Malaysia, di sini semalam.

“Terima kasih tidak terhingga kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang masih meneruskan pemakaian pengecualian pemakaian PDA 1974 dan CSA 1961 bagi kawal selia gas petroleum cecair (LPG) di Sarawak.

“Saya juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah bersetuju dan memutuskan supaya pengecualian pemakaian ini kepada SEDC Energy Sdn. Bhd.,” ujarnya.

Surat pengecualian kawal selia LPG di Sarawak tersebut diserahkan oleh Setiausaha Persekutuan Sarawak Dato’ Amir Omar kepada Setiausaha Kerajaan Negeri diwakili Dr Muhammad Abdullah Zaidel.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing Jemut dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Secara Rawak

Artikel Terbaru