Saturday, December 4, 2021

Kontraktor rugi RM60,000 mangsa along

Secara Rawak

KUANTAN: Terdesak untuk mendapatkan wang segera dipercayai menjadi penyebab seorang kontraktor bersetuju meminjam daripada syarikat pemberi pinjaman wang tidak wujud atau along yang mencari mangsa melalui panggilan telefon.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata lelaki berusia 28 tahun itu mendakwa kerugian RM60,000 yang dijelaskan kepada suspek lelaki yang menghubunginya pada bulan lepas, bagi menawarkan ‘pinjaman’ itu.

“Mangsa (kontraktor) mendakwa dia memerlukan wang segera sebanyak RM250,000 dan berdasarkan perbincangan dengan suspek, kaedah bayaran yang dipersetujui ialah RM7,000 sebulan selama lima tahun.

“Suspek dikatakan meminta maklumat peribadi mangsa dan bayaran pendahuluan RM30,000 kononnya sebagai bayaran proses permohonan yang dijelaskan mangsa pada 17 Ogos lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.seperti dipetik Bernama.

Mohd Wazir berkata suspek didakwa sekali lagi menghubungi mangsa pada minggu seterusnya memaklumkan permohonan diluluskan dan mangsa perlu menjelaskan RM30,000 lagi sebagai kos pentadbiran untuk mengkreditkan wang pinjaman ke akaunnya.

Beliau berkata mangsa mendakwa membayar wang itu pada hari sama menerusi transaksi secara dalam talian sebanyak tiga kali namun mulai curiga apabila suspek menghubunginya semalam, meminta lagi wang kononnya sebagai upah menguruskan proses pinjaman tersebut.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Raub dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru