Sunday, September 19, 2021

Idris: Hari Malaysia perlu diraikan

Mesti baca

KOTA SAMARAHAN: Sambutan Hari Malaysia 2021 perlu diraikan biarpun dengan kawalan ketat pematuhan Proedur Operasi Standard (SOP) sebagai menunjukkan bukti rasa patriotik yang tinggi dan cinta terhadap Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang Datuk Idris Buang menegaskan, tujuan utamanya adalah untuk memastikan semangat sempena tarikh kemerdekaan negeri Sarawak itu dapat disemai dan dipupuk kepada generasi muda.

Jelas beliau, sambutan bagaimanapun perlu dilakukan mengikut arahan pihak berkuat kuasa termasuk Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mana-mana pihak berkaitan.

“Sepatutnya hari kemerdekaan Sarawak selepas menyertai Malaysia pada 16 September bersama Sabah dan Tanah Melayu itulah yang perlu diraikan.

“Mentaliti kita sebagai anak Sarawak mesti betanggungjawab dan berterima kasih dengan meraikan hari Malaysia yang bakal menjelang.

“Anak muda yang takut memperjuangkan dan tidak menunjukkan rasa cinta dan kasih sayang terhadap pembentukan Malaysia adalah tidak layak menjadi pemimpin negeri kita,” katanya.

Beliau menegaskan perkara tersebut selepas menghadiri sidang media Program Ralli Sarawak Merdeka Dalam Malaysia; Muara Tuang-Kota Samarahan, melalui aplikasi Zoom semalam.

Katanya, program sempena memperingati Hari Malaysia itu kini menunggu keputusan dan persetujuan daripada JPBNS sama ada dapat dijalankan susulan pandemik Covid-19 masih berlaku.

Jelas ADUN Muara Tuang itu, program yang sepatutnya berlangsung pada 11 September ini bagaimanapun tetap akan ditunda sekiranya tidak dibenarkan pada tarikh yang telah ditetapkan.

“Tujuan kita adalah untuk menangkis segala persepsi yang dikeluarkan oleh pihak antiSarawak menyertai Malaysia, kumpulan prokomunis dan keluar Sarawak dari Malaysia.

“Sebab itulah kita nak tunjuk kepada kumpulan antiMalaysia bahawa kita benar-benar sayangkan Malaysia dan sayangkan Sarawak menyertai Malaysia.

“Inilah bumi yang pijak, hidup dan mati kita disini,” tegas beliau lagi.

Idris memberitahu, justeru ada baiknya memastikan program seperti itu dapat dijalankan bagi memupuk semangat patriotisme dalam kalangan anak muda sentiasa bersemangat untuk meraikan hasil perjuangan pemimpin terdahulu untuk memerdekakan Sarawak.

Secara Rawak

Artikel Terbaru