Sunday, September 19, 2021

Ahli Dewan Rakyat perlu fokus rakyat

Mesti baca

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menyambut baik pengumuman kabinet baharu oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, dalam usaha menjayakan agenda besar pemulihan negara.

Keutamaan yang digariskan agar setiap kementerian perlu membuktikan prestasi mereka dalam tempoh 100 hari menunjukkan kesungguhan Perdana Menteri dalam menjayakan agenda “kabinet berprestasi tinggi”.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) berharap kabinet ini bertindak pantas dan bersepadu dalam usaha membebaskan Malaysia daripada terus diselubungi oleh pandemik COVID-19, kegawatan ekonomi dan kekusutan politik.

Ketiga-tiga perkara ini perlu menjadi teras utama dalam usaha memacu negara ke arah yang lebih sejahtera. Barisan Kabinet Menteri perlu terus fokus kepada isu rakyat dan aspirasi ini perlu dilaksanakan juga di peringkat Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang bakal bersidang tidak lama lagi.

Yang di-Pertuan Agong telah melaksanakan amanah Baginda dengan mendapatkan surat-surat akaun bersumpah dan juga menemubual kesemua 114 Ahli Dewan Rakyat yang menyokong YAB Perdana Menteri sekarang. Memang jelas, pembangkang tidak punya cukup bilangan untuk menjadi kerajaan.

Maka, Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) berpendapat bahawa usul undi percaya kepada Perdana Menteri bukanlah fokus Ahli-Ahli Dewan Rakyat pada masa ini. Jangan buang masa lagi dengan tuntutan yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Ahli-ahli Dewan Rakyat, dari blok kerajaan atau pembangkang, perlu menggunakan ruang sidang Dewan Rakyat dengan sebaiknya demi menyuarakan dua perkara pokok, iaitu membawa negara kita keluar dari pandemik COVID-19 dan membina kembali ekonomi negara.

Bantuan daripada Kerajaan adalah penting untuk jangka pendek, namun pelan jangka masa panjang, terutama buat anak muda perlu difikirkan. Berapa ramai graduan universiti yang masih mencari kerja pada saat ini? Berapa ramai pula anak muda yang kehilangan pekerjaan waktu pandemik sejak tahun 2020 hingga hari ini?

Berdasarkan Jabatan Statistik, bilangan penganggur naik seramai 40,600 orang atau 5.6 peratus kepada 768,700 orang berbanding 728,100 pada Mei 2021. Kadar pengangguran pula meningkat kepada 4.8 peratus berbanding 4.5 peratus pada Mei 2021. Bayangkan, jumlah hampir 800,000 orang penganggur ini tidak termasuk graduan-graduan lepasan universiti yang baru mencari pekerjaan dan peniaga kecil yang gulung tikar. Inilah yang sepatutnya dibincangkan di Dewan Rakyat, dan bukannya usul undi percaya.

Malaysia Sejahtera! #MalaysiaSejahtera

Shahir Adnan
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM)

Secara Rawak

Artikel Terbaru