KUCHING: Dengan asas kuasa tenaga yang kuat, Sarawak ketika ini dalam perundingan untuk membekalkan kuasa elektrik ke Brunei Darussalam yang memerlukan bantuan negeri ini, kata Ketua Menteri.
Menurut Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dengan asas yang kukuh, Sarawak dapat kongsikan tenaga elektriknya. Malah, kemungkinan suatu hari nanti kita akan merentasi Laut China Selatan,” jelasnya tanpa menjelas lanjut perkara berkenaan.
Katanya, ketika ini Sarawak sudah menandatangani perjanjian untuk membekalkan tenaga elektrik ke Sabah.
“Kita sudah bekalkan tenaga ke Kalimantan, dan seterusnya kita berunding dengan Brunei yang juga perlukan bantuan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyaksikan Penyerahan Surat Kawal Selia LPG di Sarawak dan Kebenaran SEDC Energy Sdn Bhd Menjadi Syarikat Minyak Baharu di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.
Menurut Abang Johari, Kementerian Utiliti menerusi Sarawak Energy Berhad (SEB) sedang menerokai potensi empangan kuasa hidroelektrik di negeri ini bagi mendapatkan bekalan tenaga dari kuasa hidro menerusi turbin dan kuasa solar menerusi solar terapung di empangan negeri.