Saturday, October 23, 2021

Pengusaha, penyewa bilik sewa digesa ambil langkah berjaga-jaga terhadap bahaya Covid-19

Mesti baca

BINTULU: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) telah mengambil inisiatif mengeluarkan ‘Notis Mematuhi’ terhadap pemilik dan pengusaha bilik sewa di lot kedai di kawasan komersial Bintulu. 

BDA dalam kenyataan media pada Rabu berkata, notis ini dikeluarkan mengikut Seksyen 109(1)(b) Ordinan Pihak Berkuasa Tempatan 1996 yang mewajibkan pemilik dan operator mengambil langkah berjaga-jaga terhadap bahaya penyakit terutama COVID-19 daripada merebak. 

“Keperluan ini adalah untuk mematuhi Garis Panduan Standard bagi saiz bilik dan penambahbaikan pengudaraan yang dikeluarkan agensi-agensi kerajaan seperti yang dilampirkan dengan notis tersebut. 

“Pematuhan kepada keperluan tersebut bukanlah kelulusan bagi sesebuah bangunan untuk operasi tersebut kerana terdapat peruntukan lain yang mengawal penggunaan bangunan. 

“Walau bagaimanapun, apa yang paling penting sekarang adalah untuk memastikan keselamatan rakyat dengan mematuhi Garis Panduan Standard tersebut,” katanya. 

Sejak Julai 2021, BDA telah mengeluarkan 33 notis kepada pemilik dan pengusaha premis yang telah dikunci Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Bintulu. 

Tempoh penangguhan selama 21 hari dari tarikh perkhidmatan diberikan kepada pemilik dan pengusaha untuk mematuhi notis tersebut.

Tambah kenyataan itu lagi, BDA telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pemilik dan pengusaha bilik sewa di lot kedai untuk mendapatkan kerjasama baik bagi mematuhi Garis Panduan Standard. 

Katanya, pemilik dan pengendali juga menyatakan kebimbangan mereka terhadap keselamatan penyewa dan tidak mahu premis mereka dikunci.

“Kakitangan BDA telah menjalankan pemeriksaan ke atas bilik sewa di lot kedai di Jalan Somerville, Jalan Tanjung Batu dan Jalan Sultan Iskandar untuk menilai keadaan.

“Pada masa sama turut memberi nasihat dan peringatan kepada penyewa bilik supaya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan,” ujarnya. 

Pemeriksaan lanjut akan dijalankan secara berterusan dan  sekiranya gagal mematuhi notis, BDA tidak mempunyai alternatif lain selain mengambil tindakan undang-undang.-

SourceUKAS

Secara Rawak

Artikel Terbaru