Thursday, December 9, 2021

Pedofil ditangkap miliki koleksi pornografi kanak-kanak

Secara Rawak

KUCHING: Kes pedofilia melibatkan Alladin Lanim bukanlah satu-satunya kes yang dikesan di Sarawak, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail.

Menurutnya, sejak berkuatkuasanya Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) pada 10 Julai 2017 sehingga 31 Ogos 2021, sebanyak 260 kes kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak telah disiasat oleh Bahagian D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak.

“Sebanyak 76 peratus daripada kes telah berjaya didakwa di mahkamah, dengan lebih suku daripadanya telahpun dijatuhkah hukuman penjara dan selebihnya masih dalam proses perbicaraan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menjelas mengenai tangkapan Alladin, Aidi berkata ia adalah hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Bahagian D11 Bukit Aman, D11 dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak bersama pihak polis Australia serta pelbagai agensi lain di Malaysia.

“Memandangkan kegiatan suspek berlaku di “Darkweb” dan tanpa pendedahan identiti, risikan dan siasatan dijalankan oleh D11 Bukit Aman bersama AFP yang mempunyai lebih kepakaran dalam siasatan melibatkan “Darkweb” sehingga identiti dikenal pasti.

“Dengan hanya berbekalkan maklumat itu, Bahagian D11, JSJ PDRM Sarawak telah menjalankan risikan sehingga berjaya mengetahui keberadaan Alladin yang sebenarnya bekerja sebagai konduktor lapangan di sebuah ladang kelapa sawit di Biawak, Lundu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau berkata laporan media mengatakan Alladin ditangkap di pusat kuarantin di Kuching selepas balik dari Semenanjung Malaysia adalah tidak tepat kerana suspek tidak pernah keluar dari Sarawak sejak balik ke Sarawak pada 2016.

Menjelas lanjut, Aidi berkata pada 5 Julai lalu, pasukan serbuan dari Bahagian D11 dan D9 JSJ IPK Sarawak telah berjaya menangkap Alladin kerana memiliki ribuan bahan pornografi kanak-kanak di dalam telefon bimbitnya dan disiasat di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Beliau menambah lima orang kanak-kanak dari kawasan kejiranan suspek telah tampil bersama ibu bapa masing-masing membuat laporan polis untuk membantu siasatan.

Katanya pada 16 dan 17 Ogos lalu, Alladin berjaya dituduh di Mahkamah Sesyen Kuching dengan 18 pertuduhan dengan hukuman 48 tahun enam bulan penjara dan 15 sebatan.

“Tertuduh kini sedang menjalani hukuman penjara dan pada masa sama, beberapa pertuduhan lagi akan dicadangkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan usaha membendung jenayah ini bukan terletak pada satu pihak tetapi memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuklah agensi penguat kuasa undang-undang baik dari dalam mahupun luar negara.

“Begitu juga individu dan ahli masyarakat adalah digalakkan untuk tampil melaporkan jenayah yang berlaku,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru