Tuesday, September 21, 2021

Dua pelajar rogol gadis

Mesti baca

KUCHING: Mahkamah Majistret hari ini, memerintahkan dua orang pelajar dihantar ke Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo selepas mengaku bersalah atas kesalahan merogol gadis bawah umur.

Hakim Zubaidah Sharkawi memerintahkan kedua-dua tertuduh yang berusia 16 tahun dan 17 tahun menjalani hukuman berkenaan selama tiga tahun.

Kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Sekyen 376(1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabit bersalah.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh berusia 16 tahun didapati merogol sepupunya yang berumur 15 tahun sehingga menyebabkan mengandung.

Menurut fakta kes, ibu mangsa mengesyaki anaknya mengandung kerana melihat perubahan fizikal yang ketara pada bahagian perut dan membawa mangsa ke klinik untuk pemeriksaan lanjut.

Hasil pemeriksaan doktor mendapati mangsa hamil 30 minggu. Setelah disoal siasat, mangsa mengaku pernah melakukan hubungan seksual bersama tertuduh yang tinggal serumah dengan keluarganya beralamat di Batu 17, Siburan.

Hasil siasatan mendapat tertuduh melakukan perbuatan terkutuk tersebut sekitar bulan Januari hingga Disember 2019 di dalam sebuah rumah. Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh berusia 17 tahun yang masih bersekolah merogol seorang gadis berusia 15 tahun di sebuah bilik jenis pangsapuri mewah sekitar jam 8.00 pagi, pada 6 Febuari lalu.

Difahamkan, bapa mangsa telah dihubungi oleh pihak polis IPD Kuching Simpang Tiga apabila menjumpai anaknya bersama seorang lelaki berada di sebuah pangsapuri mewah di Jalan Wan Alwi pada hari kejadian.

Kemudian, pihak polis menyerahkan mangsa kepada ahli keluarganya turut mengaku melakukan hubungan seks bersama tertuduh atas dasar suka sama suka apabila ditanya oleh bapanya.

Tertuduh juga berjaya ditangkap oleh pihak polis sehari selepas kejadian di Kampung Tabuan Dayak sekitar jam 12.45 petang, 7 Febuari lalu.

Hasil siasatan mendapati tertuduh dan mangsa merupakan pasangan kekasih sejak tahun 2020 menempah sebuah bilik jenis pangsapuri mewah untuk menyambut hari jadi. Tertuduh juga mengaku melakukan hubungan seksual bersama mangsa atas dasar suka sama suka.

Walaupun, atas dasar suka sama suka atau tanpa paksaan tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana melakukan seks bersama gadis bawah umur.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Rogayah Rosli manakala tertuduh berusia 16 tahun diwakili peguam dan tertuduh lain tidak diwakili peguam.

Secara Rawak

Artikel Terbaru