Thursday, December 9, 2021

Ahli politik tidak fasih berbahasa Inggeris boleh guna khidmat jurubahasa

Secara Rawak

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing mencadangkan agar ahli politik yang kurang fasih berbahasa Inggeris supaya membawa jurubahasa daripada dipersoalkan oleh orang awam.

Menurutnya lagi, tidak salah bagi ahli politik itu bertutur dalam bahasa Malaysia jika tidak fasih berbahasa Inggeris yang kemudian menjadi bahan lawak orang awam.

“Kefasihan berbahasa Inggeris bukan penanda aras kepada kecerdasan seseorang. Namun semakin cepat ahli politik faham perkara ini, semakin baik untuk mereka.

“Contohnya semasa perbahasan atau menyampaikan usul yang lintang-pukang menggunakan bahasa Inggeris. Ia lebih memalukan jika anda bergelar seorang ahli parlimen atau wakil rakyat,” katanya.

Masing menceritakan pengalamannya beberapa tahun lalu ketika menyertai delegasi Malaysia melawat tasik Como di Itali.

“Di sana kami bertemu dengan seorang menteri dari Itali di Milan yang memberi taklimat mengenai pelupusan sampah dalam bahasa Itali dan diterjemah jurubahasanya. “Saya terkejut menteri itu bertutur dalam bahasa Itali sedangkan beliau mempunyai ijazah kejuruteraan dari London yang semestinya fasih berbahasa Inggeris,” jelasnya.

Soal Masing, mengapa menteri berkenaan sengaja bertutur bahasa Itali sedangkan beliau faham bahasa Inggeris?

“Ini dilakukan dengan tujuan tertentu kerana bangga dengan bahasa ibundanya dan keduanya, menggunakan jurubahasa akan memberikannya masa untuk berfikir apabila ditanya.

“Kaedah yang sama digunakan oleh pemimpin negara lain seperti Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Presiden China, Xi Jinping,” ujarnya

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru