Sunday, September 19, 2021

Zahid: Saya terima banyak pertanyaan tentang pelantikan Muhyiddin

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, untuk tempoh enam hingga tujuh bulan akan datang sehinggalah pandemik mulai reda, Kerajaan dan parti akan lengkap-melengkapi dan bergerak seiring dengan memfokuskan peranan masing-masing.

Menurut bekas Timbalan Perdana Menteri itu, kerajaan fokus untuk menyelesaikan masalah rakyat manakala UMNO sebagai parti perlu menjadi suara pengimbang mewakili denyut nadi rakyat selain fokus memperkasa agenda pemantapan parti untuk menghadapi PRU-15 bagi memperoleh kembali kepercayaan dan mandat rakyat.

“Terlalu banyak hikmah Allah takdirkan Umno hilang kuasa pada PRU lalu untuk kita muhasabahkan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.

“Salah satunya ialah nilai kesetiaan kepada parti yang terlalu besar harganya yang menjadi penentu dan fitrah kelangsungan sebuah perjuangan,” ujarnya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut menyatakan bahawa Umno berpendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kerajaan dapat berfungsi dengan baik dan tidak mengulangi kesilapan kerajaan terdahulu.

“Saya menerima banyak pertanyaan, bahkan sempat membaca pelbagai komen bertanyakan mengenai apakah pendirian Umno dalam pembentukan Jemaah Menteri dan perlantikan mantan Perdana Menteri sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf Menteri,” katanya mengulas pendirian Umno mengenai pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin ke jawatan itu.

“Parti telah membuat pendirian menyokong pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri,” katanya.

“Ini bermakna, parti menyerahkan kebijaksanaan kepada beliau sebagai Perdana Menteri dalam membuat keputusan atau kebijakan-kebijakan yang beliau rasakan sesuai dalam mengemudi pentadbiran negara.

“Umno konsisten dalam pendiriannya. Kita telah pun memberikan sokongan kepada Perdana Menteri dan bagi pihak parti, saya akan memastikan kita akan terus menjadi mata, telinga dan suara rakyat dalam menyentuh soal-soal kesejahteraan mereka dan kemakmuran negara,” jelasnya lagi.

Secara Rawak

Artikel Terbaru