Sunday, September 19, 2021

Wanita di Kuching rugi hampir RM150,000

Mesti baca

PADAWAN: Seorang wanita warga emas mengalami kerugian sebanyak RM149,550 berikutan kes tipu nombor kod kebenaran transaksi (TAC) pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata mangsa menerima pesanan mesej sekitar jam 12 tengah hari daripada satu nombor yang tidak dikenali menggunakan nombor asing.

Katanya, pesanan mesej itu memberitahu mangsa ada membuat pembelian barang dari Shoppee sebanyak RM2,636.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya diminta menghubungi nombor pihak Maybank bercakap dengan lelaki bernama John Ng.

“Lelaki tersebut mengatakan maklumat peribadi mangsa telah digunakan
oleh orang lain mendaftar kad kredit Maybank Master Gold di Kuala Lumpur dan telah tertunggak sebanyak RM4,778.90.

“Seterusnya mangsa diminta menghubungi nombor Bank Negara Malaysia dimana mangsa disuruh membeli insurans dan mangsa telah bersetuju,” katanya dalam satu kenyataan.

Aidil berkata, mangsa kemudiannya ada menerima beberapa nombor TAC dan saspek mengarahkan mangsa memberikan nombor TAC itu kepada mereka.

Beliau berkata, mangsa menjadi panik dan bertindak mengikuti semua arahan dan permintaan saspek.

Katanya, setelah nombor TAC diserahkan, mangsa menyedari terdapat transaksi wang keluar dari akaun Public Bank dan Maybank miliknya berjumlah RM23,850 dan RM125,700.

Tambah Aidil, mangsa merasa terpedaya dan ditipu lalu buat laporan polis untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan dengan curangnya mendorong supaya harta diserahkan.

Secara Rawak

Artikel Terbaru