Saturday, December 4, 2021

Hubungan Kuching-Putrajaya: Isu duri dalam daging

Secara Rawak

Kabinet baharu di bawah Datuk Seri Ismail Sabri mengekalkan jumlah menteri dan timbalan menteri dari Sarawak. Terdapat empat orang menteri, termasuk seorang menteri kanan dan enam timbalan menteri termasuk dua dari Bersatu.

Enam orang pemimpin dari Sabah turut dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri, menjadikan keseluruhannya 16 orang atau sekitar 23 peratus daripada 69 orang dari Malaysia Timur yang menganggotai kabinet Perdana Menteri kesembilan itu.

Jadi, tidak ada yang patut dirungut oleh Sarawak di sebalik harapan beberapa pihak agar jawatan Timbalan Perdana Menteri diberi kepada pemimpin politik Sarawak.

Hanya sedikit perubahan yang berlaku. Itu pun termasuk memindahkan Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dari Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi ke Jabatan Perdana Menteri.

Kementerian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak masih dikekalkan dengan menterinya dari Sabah dan timbalan dari Sarawak. Pada pertengahan 2020, menterinya Datuk Seri Maximus Ongkili memberi harapan tinggi kepada rakyat Sarawak dan Sabah.

Maximus menyatakan bahawa beliau berharap isu-isu berkaitan Perjanjian Malaysia (MA63) dapat diselesaikan dalam tempoh enam bulan. Maksudnya, isu terbabit sepatutnya selesai pada pertengahan September 2020. Tetapi, terus terang, adakah semua isu itu sudah selesai?

Untuk bersikap adil, memang banyak yang telah dapat diselesaikan dalam tempoh 17 bulan Perikatan Nasional (PN) memerintah berbanding dengan pencapaian 22 bulan ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah.

Dengan seratus hari diletakkan sebagai penanda aras kepada semua menteri di bawah pimpinan Ismail Sabri, adakah mungkin isu-isu yang tertangguh berkaitan dengan Sarawak dan Sabah dapat ditangani? Atau lagu lama akan diulang kembali bagai piring hitam rosak?

Bagi rakyat Sarawak dan Sabah, mereka mahu isu yang tertangguh dapat diselesaikan setidak-tidaknya sebelum berakhirnya tempoh pemerintahan kerajaan sekarang. Isu ini sudah berlarutan sejak zaman pemerintahan Barisan Nasional lagi. Setiap kali menjelang pilihan raya dan perubahan kerajaan, setiap kali pula isu MA-63 menggelegak dan dibangkitkan.

Kita akan menyambut ulang tahun ke-58 pembentukan Malaysia tidak lama lagi. Seyogia diingat, isu MA-63 dan pembangunan Sarawak dan Sabah ialah isu duri dalam daging. Kita terus bercakap tentang jalan raya, sekolah, klinik, hospital, agihan kekayaan yang saksama, pembangunan dan sebagainya. Sarawak dan Sabah masih lagi antara negeri yang kadar kemiskinannya tinggi berbanding negeri-negeri lain.

Ada rakyat yang bersikap pesimis, skeptis dan sinis. Tetapi tidak kurang juga yang optimis dan rasional. Hakikatnya, memang banyak yang sudah dicapai sejak Malaysia dibentuk pada 1963. Ya, tidak dinafikan banyak lagi yang perlu diusahakan. Matlamat dan sasaran sebuah negeri dan negara yang hendak maju memang perlu sentiasa berubah. Kalau tidak ia menjadi jumud. Harapan dan impian rakyat semakin tinggi menyala.

Rakyat yang semakin celik politik dan berpendidikan semakin resah dan tidak sabar. Memang tidak mudah menjadi ahli politik dan menteri ketika ini lebih-lebih lagi dengan adanya media baharu yang membuka ruang awam untuk netizen mengkritik dan meluahkan perasaan.

Justeru, rakyat tidak lagi mahu mendengar seribu satu alasan. Yang didambakan ialah komitmen dan keazaman politik yang jitu daripada semua menteri terbabit untuk memastikan segala isu dan masalah berkaitan dapat diselesaikan.

Lagipun, mereka sudah berada di jawatan itu untuk 17 bulan di bawah PN. Tentu ada justifikasi kebanyakan menteri dikekalkan di jawatan sama, termasuk Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak.

Tujuannya demi kesinambungan dan agar mereka tidak peru bermula dari kosong. Mereka hanya perlu melaksanakan apa-apa yang masih tertangguh. Dengan Dr Wan Junaidi di Jabatan Perdana Menteri, sudah pasti tugas dan tanggungjawab berkenaan dapat dilancarkan lagi. Mereka perlu bekerjasama sebagai satu pasukan menuju matlamat yang sama.

Pasti menteri dan timbalan menteri, Datuk Hanifah Taib mempunyai Indeks Prestasi Utama (KPI) untuk dicapai dalam tempoh seratus hari dan juga dalam tempoh mereka menjawat jawatan itu. Rakyat sedang memantau dengan teliti tindakan dan pencapaian mereka berdua.

Apa jadi 21 perkara yang didakwa telah dikemukakan Kerajaan Sarawak dan Sabah dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia? Betulkah 17 daripadanya telah mendapat persetujuan bersama seperti dijelaskan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin di Parlimen pada 10 Disember 2019?

Mohamed Hanipa berkata ketika itu, baki empat lagi perkara masih dibincangkan secara tiga penjuru antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sabah dan Sarawak. Atau adakah semua itu hanya omong kosong dan retorik politik PH semata-mata?

Antara perkara yang perlu diselesaikan adalah berkaitan 40 peratus daripada hasil dari Sarawak dan Sabah yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan perlu dikembalikan kepada kedua-dua negeri ini. Projek pembangunan di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk kedua-dua negeri itu hendaklah dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Rakyat juga hendak tahu langkah lanjut untuk meminda Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dengan Semenanjung.

Pindaan itu penting kerana ia akan mengembalikan kedudukan Sarawak dan Sarawak seperti yang terkandung dalam MA-63, maka secara automatik kita mempunyai kawalan terhadap sumber asli dan wilayah. PH yang memasukkan perkara ini dalam manifesto mereka juga ternyata gagal melakukannya.

Bagaimana pula keputusan untuk meningkatkan kadar royalti minyak? Kata manifesto yang sarat dengan janji: “Pakatan Harapan akan menambah jumlah royalti petroleum kepada Sabah dan Sarawak kepada 20 peratus atau nilai yang bersamaan, sebagai salah satu langkah pembahagian hasil petroleum yang lebih adil.” Tetapi kita semua tahu sikap PH selepas berkuasa.

Malah, PH berjanji untuk mengkaji Akta Pembangunan Petroleum 1974 untuk menyemak monopoli Petronas terhadap hasil gas dan minyak negara, terutama dari Sarawak dan Sabah. Akhirnya, janji hanya tinggal janji di sebalik dakwaan penuh bangga Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada akhir 2019 bahawa 60 peratus janji PH telah dipenuhi!
Hakikatnya, semua itu adalah karut dan omong kosong seorang pemimpin yang diingat kerana memberi hanya RM30 kepada rakyat melalui e-wallet.

Dengan adanya kementerian khas untuk Sabah dan Sarawak, tidak ada alasan lagi mengapa isu MA-63 dan isu-isu berkaitan tidak dapat diselesaikan. Atau adakah kerenah birokrasi menjadi hambatan utama? Atau memang keazaman politik tidak cukup kuat? Atau tidak ada kerjasama ikhlas dan penuh daripada Kerajaan Persekutuan?

Ini tidak masuk akal kerana terdapat beberapa jawatankuasa dan majlis dibentuk untuk menangani isu-isu berkaitan telah dibentuk baik di bawah PH mahupun PN. Jangan beritahu kita perlukan lebih banyak lagi jawatankuasa? Keberkesanan dan kepantasan dalam bertindak amat penting walaupun kita tahu bahawa isu-isu berkaitan adalah rumit dan kompleks.

Ketika Malaysia dibentuk, Sarawak diperuntukkan beberapa geran termasuk geran jalan raya, geran pengimbang tahunan, peruntukan khas, capitation grant yang didasarkan pada jumlah penduduk dan annual escalating grant.

Perdana Menteri telah mengemukakan konsep Keluarga Malaysia yang menekankan prinsip keterangkuman. Semua negeri sepatutnya dilayan dengan adil tanpa sebarang diskriminasi. Konsep sistem politik federalisme perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin dengan mengambil kira semangat dan tujuan asal pembentukan Malaysia.

Yang penting, perkara yang sudah lama tertangguh perlu diselesaikan segera tanpa perlu lagi memberi alasan. Perkara pentadbiran tertentu wajar diturunkan kepada Sarawak dan Sabah.

Jangan beritahu kita perlukan 58 tahun lagi untuk selesaikan semua masalah itu. Kita perlu melangkah ke hadapan sebagai sebuah negara persekutuan dan tidak selama-lamanya terbelit dengan persoalan asas ini. Selagi isu duri dalam daging itu tidak dicabut, selagi itulah ia akan menjejaskan hubungan antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan.

Kestabilan dan keharmonian hubungan hanya akan dimungkinkan jika tuntutan dan isu berkenaan ditangani dengan baik. Bukan tidak pernah hubungan tegang berlaku sebelum ini.

Ia perlu dijadikan pengajaran. Kita tentu tidak mahu politik regionalisme, semangat parokialisme dan nasionalisme kenegerian yang melampau menggelegak di kedua-dua negeri ini sehingga menjejaskan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri. Sebagai sebuah keluarga, kita sebenarnya saling memerlukan dan perlu saling membantu.

Yang utama, kita perlu memantapkan sistem federalisme ini. Selain pentingnya kesepaduan sosial dalam kalangan lebih 80 kaum di negara ini dimantapkan, kestabilan politik dan integrasi nasional perlu terus dipupuk bagi membina sebuah negara bangsa yang stabil dan utuh.

Untuk itu, hubungan harmoni perlu terus dipupuk. Sikap tolak ansur, keikhlasan, dengan memahami hak negeri dan sejarah pembentukan Malaysia adalah perlu bagi memungkinkan Malaysia bergerak ke hadapan sebagai sebuah negara persekutuan yang progresif, makmur, stabil dan harmoni.

Dr Jeniri Amir ialah Profesor Adjung di Universiti Malaysia Sarawak dan Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru