Sunday, September 19, 2021

Tiga penjual judi dalam talian ditangkap

Mesti baca

PADAWAN: Seorang perempuan berusia 19 tahun antara tiga individu ditahan polis dalam tiga serbuan berasingan Op Dadu pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Padawan Supritendan Aidil Bolhassan berkata, suspek perempuan itu ditangkap di sebuah kedai kopi di Jalan Matang-Batu Kawa sekitar jam 5.50 petang.

Kata Aidil, satu unit telefon bimbit, wang tunai RM643 serta sekeping kertas bertulis nombor disyaki pengenalan diri (ID) dan kata laluan turut dirampas.

Menurutnya, seorang lagi suspek lelaki, 51 ditahan dalam serbuan sekitar jam 6.45 petang di sebuah premis kedai di Jalan Batu Kawa dan turut dirampas satu unit telefon pintar dan wang tunai berjumlah RM250.

“Sementara, serbuan seterusnya sekitar 7.20 malam turut menahan seorang suspek lelaki juga berusia 51 tahun di sebuah premis kedai berasingan di Jalan Batu Kawa,” katanya dalam kenyataan semalam.

Aidil berkata, polis turut merampas seunit telefon pintar dan wang tunai berjumlah RM200 dalam serbuan tersebut.

“Ketiga-tiga suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan mengaku bekerja sebagai penjual judi dalam talian.

“Manakala barang rampasan telah diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya,” katanya sambil memberitahu kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Secara Rawak

Artikel Terbaru