Sunday, September 19, 2021

Penjenteraan industri perladangan beri kelebihan basmi pengangguran belia

Mesti baca

Satu kesan negatif penjenteraan – pengenalan mesin atau peranti automatik ke dalam proses, aktiviti, atau tempat – dalam pertanian akan menghasilkan tenaga kerja yang lebih kecil sehingga menyumbang kepada peningkatan pengangguran.

Tetapi ini tidak berlaku dalam industri perladangan. Penjenteraan dalam industri kelapa sawit selama beberapa tahun terakhir dalam bidang penuaian buah telah menyaksikan peningkatan daya penghasilan yang telah meningkatkan kadar perahan minyak.

Dan ini juga boleh dapat membantu menyelesaikan tiga masalah – pengangguran, pekerjaan tidak sepenuhnya (underemployment) dan terlalu bergantung pada buruh asing.

Fenomena pekerjaan tidak sepenuhnya terbit dari definisi pekerja Jabatan Perangkaan Malaysia merangkumi individu yang bekerja hanya satu jam seminggu dan individu yang mungkin merupakan pekerja tanpa gaji di perusahaan keluarga. Ada juga yang mungkin masih bekerja di gerai makanan tetapi menghadapi kekurangan pendapatan.

Kunci menangani tiga masalah ini terletak pada buah sawit relai (LF) yang bertaburan di tanah yang merupakan salah satu tanda buah kelapa sawit bertandan (FFB) di pokok sudah ranup untuk dituai. Buah kelapa sawit tumbuh dalam tandan tebal yang dikenali sebagai FFB.

LF juga jatuh bertaburan ke tanah semasa operasi penuaian yang melibatkan penebasan FFB, dan ini perlu dikumpulkan bersama untuk memaksimumkan kandungan minyak semasa pemprosesan.

Pada masa lalu, LF ditinggalkan saja kerana tanggapan bahawa ukurannya yang kecil, maka tidak berbaloi usaha mengumpulkannya. Namun, ini tidak bermakna ia langsung tidak dikumpulkan sama sekali tetapi usaha tersebut tidak cukup serius kerana fokusnya adalah menuai FFB yang lebih besar pada pokok kelapa sawit.

Tetapi sejajar dengan kata-kata hikmah bahawa kecil itu indah dan berharga, dan berdasarkan banyak penemuan penyelidikan, kebanyakan LF yang jatuh berguguran di tanah datang dari diameter luar tandan FFB yang mempunyai paras maksimum kandungan minyak sehingga 40% minyak sawit dibandingkan dengan 35% dan 29% masing-masing dari kawasan tengah dan dalaman tandan FFB.

Menurut satu kajian, kerugian yang diukur dari segi kadar perahan minyak (OER) adalah signifikan jika LF tidak dikumpulkan dan diproses – pengurangan OER antara 0.37% hingga 0.92%, bergantung pada usia pokok kelapa sawit, jika 20 LF setiap sawit tidak dikumpulkan.

Dari segi kewangan pula, syarikat perladangan akan meraih purata tambahan keuntungan bersih sebanyak RM 30 juta jika pekerja ladang mengumpulkan enam LF setiap sawit. Oleh itu, banyak ladang sekarang ini memastikan usaha mengumpulkan LF di ladang satu keutamaan penting demi memaksimumkan keuntungan mereka.

Dan di sinilah penjenteraan muncul sebagai satu inovasi untuk meningkatkan jumlah LF yang dikumpulkan setiap hektar, yang akan membawa perubahan mendalam dalam landskap penuaian buah sawit relai LF kerana cara penuaiannya tidak banyak berubah setelah satu abad kelapa sawit pertama kali ditanam secara komersial di Malaysia.

Buat sekian lamanya, pengumpulan dilakukan secara manual dengan tangan atau alat penyapu yang kemudian LF itu dimasukkan ke dalam beg atau langsung ke dalam bekas atau treler. Ini melibatkan pergerakan kerap membongkok yang merupakan postur badan yang buruk sehingga menyebabkan para pekerja mengalami sakit belakang.

Memburukkan lagi keadaan, sampah sarap yang terkumpul bersama LF boleh menyebabkan OER yang lebih rendah kerana sampah sarap itu akan menyerap minyak semasa diproses. Oleh itu, terdapat keperluan penting membuangnya sebelum LF dihantar untuk pemprosesan.

Lantaran itu, penjenteraan juga membawa kepada inovasi mencipta mesin pembersihan atau jentera pengasing untuk memisahkan sampah sarap itu dari LF.

Untuk mengurang atau menghilangkan sama sekali semua masalah ini dan untuk meningkatkan produktiviti pengumpulan, pelbagai alat dan mesin, dari mekanisme pemungutan mekanikal yang mudah hingga ke mesin pengumpul jenis vakum menggunakan teknologi sedutan dikembangkan dalam beberapa tahun terakhir.

Dan versi bermotor mekanisme pemungutan ini juga telah muncul di beberapa ladang, menjadikan proses pengumpulan LF lebih efisien dengan pengeluaran lebih besar setiap hektar.

Mesin-mesin ini dibuat dalam negeri yang biasanya hasil kerjasama di kalangan pemain industri, institusi akademik dan penyelidikan, dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia.

Oleh itu, ia bukanlah satu kejutan besar meskipun pencapaian yang luar biasa apabila FGV Holdings Bhd, misalnya, dalam pengajuan kepada Bursa Malaysia pada 30 Ogos, mengatakan sektor perladangannya mencatatkan keuntungan lebih tinggi sebanyak RM421.63 juta pada suku kedua tahun ini berbanding kerugian RM105.58 juta yang dicatatkan pada suku sama 2020.

Ini disebabkan peningkatan kadar perahan minyak 20.12% berbanding 20.05% untuk tempoh masa yang sama.

Semua ini bermaksud sekarang inilah peluang besar untuk mengurangkan kebergantungan pada buruh asing dengan mengikat para belia setempat yang menganggur atau bekerja tidak sepenuhnya dengan keterampilan kemahiran baru tentang tatacara menuai buah sawit menggunakan mesin yang diciptakan.

Tetapi mereka perlu menjalani latihan untuk kemahiran baru ini dengan perakuan. Bersama dengan kemahiran yang diperakui, perlu juga ada penjenamaan semula penetapan jawatan dan deskripsi kerja bagi mencerminkan mereka bukan sekadar pemetik atau pengumpul buah kerana mereka kini perlu mengetahui perkara baru seperti kaedah penggunaan mesin, pemasangan dan penyimpanannya serta pengetahuan asas servis mesin.

Pakar penuaian sawit merupakan perubahan nama jawatan yang baik, bersama dengan skim latihan dan penempatan yang menawarkan gaji RM2,000 selama tiga bulan, dan RM3,000 setelah tamat latihan.

Dengan bekerja keras dan berbekalkan minda yang inventif, para belia yang diambil menyertai skim ini boleh menjana pendapatan RM5,000 berdasarkan jumlah tan buah sawit yang dikumpul.

Dan ini tidak terhad kepada LF sahaja. Dengan penciptaan peralatan mudah dikenali sebagai galah titanium fleksibel, penuaian sekitar 500 FFB di ladang seluas 32 hektar hanya memerlukan dua jam untuk seorang pekerja, berbanding dengan kaedah lama menggunakan galah aluminium dengan pisau yang terpasang pada hujungnya yang memerlukan 20 pekerja untuk ladang yang sama saiz.

Ini semua adalah insentif yang boleh mendorong belia luar bandar dan juga belia miskin dari bandar yang kini ramai menganggur atau tiada pekerjaan tetap termasuk graduan baru untuk mendapatkan pekerjaan yang baik dengan gaji munasabah.

Dalam sebuah artikel baru-baru ini, Emir Research telah menunjukkan bagaimana pekerjaan tidak sepenuhnya telah menjadi satu cabaran struktur kerana tidak diambil kira dalam sektor ekonomi formal.

Satu cara menanganinya adalah dengan menyalurkan pekerja yang tidak bekerja sepenuhnya ke sektor formal sehingga masalah pekerjaan atau pengangguran mereka menjadi mudah digarap.

Dengan harga minyak sawit pada paras agak tinggi – harga minyak sawit mentah (CPO) RM3,268 satu tan berbanding RM2,453 satu tan sebelumnya – ini adalah masa yang tepat bagi industri perladangan mengenalkan skim ini untuk membantu peralihan mereka dari sektor informal ke sektor formal ekonomi negara.

Perubahan ini juga boleh dimanfaatkan pemilik ladang berskala kecil yang akan menguntungkan mereka.

Dengan fokus baru-baru ini tertumpu pada pengumpulan LF tanpa kendalian manusia, kemahiran para pemuda ini dapat terus ditingkatkan dan dinaiktaraf dalam setahun dua dengan pengetahuan canggih mengenai robotik dan teknologi drone di mana beberapa pakar mengatakan bahawa ini akan menjadi landskap baharu penuaian kelapa sawit di masa mendatang.

Mungkin sebuah institusi teknologi penuaian sawit harus ditubuhkan bagi membimbing para belia ini demi menempuh tangga kerjaya yang bermanfaat dan memuaskan yang juga akan memberi manfaat kepada industri sawit, dan negara dari segi pencapaian status negara berteknologi dan berpendapatan tinggi.

Jamari Mohtar adalah Pengarah, Media & Komunikasi di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

Secara Rawak

Artikel Terbaru