Sunday, September 19, 2021

Sampai bila rakyat, negara jadi korban kepentingan politik?

Mesti baca

Keputusan Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob melantik mantan Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara amatlah mengecewakan.

Mahiaddin ketika memegang tampuk pemerintahan negara telah gagal menguruskan respon negara dalam wabak Covid-19 sama ada dari segi kesihatan, eknomi mahupun pendidikan. Mahiaddin yang bertanggungjawab atas penderitaan rakyat ketika ini.

Selain itu, beliau juga bertanggungjawab melaksanakan Darurat, kononnya dengan tujuan memerangi Covid, tetapi wabak Covid menjadi lebih serius di akhir Darurat. Pengakhiran Darurat pula dibuat tanpa perbahasan di Parlimen sehingga pihak Istana Negara sendiri menegur tindakan Kerajaan Mahiaddin mengelirukan Parlimen – dan ini membawa kepada kejatuhan beliau.

Pelantikan Mahiaddin sebagai Pengerusi MPN menambah satu lagi lapisan birokrasi yang tidak wajar, kerana Mahiaddin masih perlu membentangkan saranan MPN kepada Jemaah Menteri dahulu. Adakah Ismail tidak yakin dengan Menteri-Menterinya?

Sejauhmanakah Mahiaddin bersedia memberi saranan kepada Ismail Sabri untuk membatalkan atau menambahbaik mana-mana dasar pengurusan pandemik yang digubal semasa Mahiaddin menjadi PM, tetapi tidak berkesan dalam menangani pandemik? Adakah bukan akan ada kecenderungan Mantan PM akan cuba mempertahankan legasinya dan bukan menilainya secara objektif?

Justeru, mengapa perlu Mahiaddin diberi tempat di dalam Kerajaan Ismail Sabri – melainkan tujuan survival politik Ismail semata-mata? Sampai bila rakyat dan negara perlu menjadi korban kepentingan politik?

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
SETIAUSAHA AGONG KEADILAN
MP KULIM BANDAR BAHARU

Secara Rawak

Artikel Terbaru