Tuesday, September 21, 2021

Keluarga di Sarawak mahu lepaskan rindu terhadap Bonnie

Mesti baca

KUCHING: Tempoh dua tahun tidak bersemuka dengan anak tersayang ‘Bonnie Bunyau’ sememangnya menghadir perasaan rindu yang amat menebal buat Gustin Ak Jenang dan keluarga.

Biarpun saban hari sering berhubung menerusi perbualan secara alam maya, namun situasi tersebut jauh berbeza.

Apa yang diharapkan legenda angkat berat Sarawak itu, menanti kepulangan anak keduanya ke kampung halaman.

Sekali gus, dapat membolehkan mereka sekeluarga berkumpul dan makan bersama selain beramah mesra seperti dahulu.

“Kami semua amat merindui celoteh dia (Bonnie Bunyau). Dua tahun tidak bersama, bermesra seperti dahulu.

“Lebih menyentuh perasaan, kami sekeluarga tidak merasai kemeriahan sebenar setiap kali menyambut Perayaan Gawai Dayak dan Hari Krismas sepanjang dua tahun Bonnie Bunyau berada di ibu negara,” ujar Gustin kepada Arena Suara Sarawak.

Pun begitu menurut Gustin, perasaan rindu beliau sekeluarga bakal terubat apabila badang emas negara itu akan balik ke kampung halaman (Kampung Baru Mawang, Serian) pada satu tarikh yang tidak mahu didedahkannya buat masa ini.

“Bonnie ada memberitahu dia akan pulang ke kampung untuk bercuti pada tarikh tersebut, dan kami sekeluarga tidak sabar untuk menunggu kepulangannya,” tambah Gustin.

Sambil mengakui penyumbang pingat emas buat kontinjen Malaysia di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 itu akan bercuti selama sebulan mengikut perancangan sebagai mana dimaklumkan kepada beliau.

“Dari apa yang dinyatakannya, sambil bercuti Bonnie akan turut menjalani latihan di sini (Kuching) sebagai persediaan untuk menghadapi Kejohanan Para Powerlifting Dunia di Georgia yang dijadual berlangsung pada bulan November nanti,” tambah Gustin lagi.

Secara Rawak

Artikel Terbaru