Sunday, September 19, 2021

Sedia Bajet 2022: Kalau ada idea, kemukakan kepada Kementerian Kewangan

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Sebagai sebahagian usaha menambah baik proses penyediaan bajet tahunan, Kementerian Kewangan (MoF) bersetuju menerbitkan Kertas Konsultasi Awam (KKA) dan mempelawa orang ramai berkongsi idea mereka bagi Bajet 2022, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, KKA akan menjadi pelengkap kepada Kenyataan Pra-Bajet 2022 yang diterbitkan baru-baru ini.

“Sebagai langkah permulaan, empat kertas konsultasi awam akan diterbitkan untuk mendapatkan input bagi Bajet 2022,” katanya pada sidang media seperti dipetik Bernama.

Empat KKA itu adalah Penambahbaikan Dasar Perolehan Kerajaan berkaitan Barangan/Perkhidmatan Tempatan dan Bumiputera, Penambahbaikan Program Bantuan Tunai, Kajian Insentif Cukai dan Penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA).

Kertas pertama menggariskan cadangan penambahbaikan ke atas dasar penggunaan barangan/perkhidmatan tempatan dan dasar keutamaan syarikat Bumiputera.

“Ini antara lainnya untuk melindungi dan membangunkan industri tempatan serta mengurangkan kebergantungan kepada barangan import,” katanya.

Zafrul berkata, Penambahbaikan Program Bantuan Tunai bertujuan mengenal pasti masalah, keperluan dan kaedah yang berkesan dalam penyampaian bantuan kepada rakyat, terutamanya dalam situasi yang mencabar akibat penularan Covid-19.

Mengenai Kajian Insentif Cukai katanya, ia merangkumi kajian semula rangka kerja insentif cukai pelaburan secara menyeluruh bagi memastikan insentif cukai kepada pelabur kekal relevan dengan landskap semasa perniagaan.

“Ia juga bertujuan meningkatkan daya saing negara dalam menarik pelaburan berkualiti seterusnya menjana pertumbuhan ekonomi, penciptaan pekerjaan dan penambahbaikan kedudukan fiskal negara,” katanya.

Beliau berkata, Penggubalan FRA pula bertujuan untuk meningkatkan tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan fiskal negara, termasuk pengurusan hasil, perbelanjaan, hutang, risiko fiskal, serta pelaporan tertentu dalam bentuk prabajet dan pascabajet, unjuran kedudukan ekonomi dan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana.

“MoF yakin penerbitan KKA buat kali pertama ini akan menyediakan lebih banyak peluang kepada semua pihak berkepentingan untuk memberi maklum balas masing-masing ke arah perangkaan sebuah bajet yang memenuhi keperluan rakyat serta selaras dengan dasar dan objektif negara,” katanya.

Soalan atau keperluan maklumat lanjut boleh dikemukakan kepada konsultasi.bajet2022@mof.gov.my. KKA boleh dimuat turun dan maklum balas boleh dikemukakan melalui laman web www.mof.gov.my. selewat-lewatnya pada 5 petang, 15 Sept 2021.

Secara Rawak

Artikel Terbaru