Sunday, September 19, 2021

Sarawak Pay terima kerjasama dengan Revenue Monster

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Ketika pandemik Covid-19, kerajaan Malaysia telah meningkatkan kesedaran mengenai kebersihan dan juga penjarakan fizikal dalam kalangan masyarakat sementara menggalakkan amalan pembayaran tanpa sentuhan. Oleh itu, trend pembayaran tanpa sentuhan yang menaik sedang mempercepatkan peralihan daripada tunai ke pilihan digital.

Dalam usaha untuk mendorong pembayaran tanpa tunai dalam negara, Revenue Monster mengumumkan kerjasama dengan Sarawak Pay – platform teknologi kewangan yang dimiliki Kerajaan Negeri Sarawak. Revenue Monster, syarikat teknologi kewangan Malaysia yang berfokus dalam mempelopori pendigitalan perniagaan, akan menyenaraikan Sarawak Pay e-dompet dalam pilihan pembayarannya.

Kini, lebih daripada setengah juta pengguna Sarawak Pay e-dompet akan dapat melakukan transaksi dengan peniaga Revenue Monster yang telah mendapat manfaat daripada penyelesaian pembayaran bersatu Revenue Monster yang menampilkan penerimaan pembayaran daripada 14 e-dompet, MasterCard, Visa dan FPX untuk perbankan dalam talian.

Dalam situasi pandemik Covid-19, Ken Lim, Ketua Pegawai Komersial, Revenue Monster berkongsi bahawa kerjasama ini akan mendorong pembayaran tanpa tunai yang selamat dan mudah di antara perniagaan dan pengguna. “Inilah masa yang tepat untuk mengumumkan kerjasama ini pada ketika rakyat Malaysia bergantung pada pembayaran tanpa tunai lebih dari sebelumnya.”

“Perniagaan dan pelanggan banyak bergantung pada penyelesaian pembayaran digital semudah membeli-belah barangan runcit pada masa ini. Kini, perniagaan yang berpusat di Sarawak dapat menggunakan tawaran unik Revenue Monster untuk mencapai lebih banyak pelanggan secara lancar. Oleh yang demikian, kami amat berbangga dapat bekerjasama dengan Sarawak Pay untuk memperkenalkan penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang lancar kepada pemilik perniagaan dan juga pengguna di Sarawak,” sambung Ken.

“Sebagai ekosistem e-dompet milik Kerajaan Negeri di Malaysia, kami memandang serius akan komitmen kami dalam menyediakan kemudahan transaksi tanpa tunai kepada para pengguna,” kata Lucy Wong, Ketua Bahagian Perniagaan di SiliconNet Technologies Sdn Bhd, syarikat yang dilantik untuk mengoperasikan Sarawak Pay.

“Pembayaran tanpa tunai adalah alat penting bagi setiap rakyat Malaysia pada waktu ini ketika kami terus berjuang melawan Covid-19. Kerjasama dengan Revenue Monster akan mempelbagaikan capaian Sarawak Pay e-dompet ke rangkaian peniaga-peniaga yang lebih luas. Kami berharap agar dapat menyediakan kumpulan perniagaan yang lebih besar di mana pengguna Sarawak Pay dapat melakukan transaksi pembayaran yang selamat dan lancar.”

Peniaga yang berminat boleh mendaftar dengan Revenue Monster sekarang untuk menggunakan Sarawak Pay dengan layari www.revenuemonster.my

Secara Rawak

Artikel Terbaru