Thursday, September 23, 2021

Harap kerajaan baharu dapat teruskan kesinambungan harapan rakyat Sarawak

Mesti baca

KUCHING: Menjadi keperluan supaya hak dan keistimewaan rakyat Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 serta Perlembagaan Malaysia dapat dihormati dan dilaksanakan oleh kerajaan baharu, kata Pengerusi PN Sarawak Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian.

“Saya juga senada dengan kenyataan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg supaya kerajaan baharu  dapat meneruskan kesinambungan harapan rakyat Sarawak yang mahukan hak mereka dapat terus dipenuhi serta diperkasa,” katanya.

Beliau menjelaskan sudah sampai masanya konsep federalisme yang dilaksanakan di beberapa negara dapat dilaksanakan malah ia bukan lagi halangan untuk dijayakan dan pada masa sama seluruh warga Malaysia dapat menikmati kemakmuran secara bersama bersesuaian dengan penubuhan Malaysia pada tahun 1963.

“Usaha kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini yang sangat prihatin dalam memenuhi impian rakyat Sarawak yang mahukan hak mereka dalam berkongsi hasil negeri tanpa mengabaikan keperluan supaya hasil tersebut dikongsi bersama seluruh rakyat Malaysia demi pembangunan bersama,” tambahnya.

Jelas beliau, konsep Keluarga Malaysia  sangat bertepatan dengan kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam memelihara keharmonian antara rakyat Malaysia, yang berbilang agama, bangsa dan budaya,

Menurut beliau  konsep  yang dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sangat bersesuaian dengan ketetapan politik ketika ini.

Jelasnya, politik negara  kini tidak lagi bergantung pada satu-satu parti atau gabungan politik lama dalam mentadbir negara selain mencari titik penyelesaian agar proses pemulihan negara dapat berjalan lancar dan inklusif.

“Ia tatkala rakyat mahu melihat penyelesaian terbaik dalam menangani masalah pandemik COVID-19 dan pemulihan ekonomi dengan penuh integriti dan musyawarah sesuai dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya menerusi kenyataan.

“PN Sarawak ingin mengucapkan tahniah kepada barisan Kabinet baharu yang telah mengangkat sumpah jawatan pada Isnin lepas dan mangharapkan mereka yang dilantik ini dapat menjalankan amanah dan tanggungjawab yang dipikul,” ujarnya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru