Sunday, September 19, 2021

Bantuan khas mulai dibayar Isnin depan

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Bantuan Khas COVID-19 (BKC) akan dibayar secara berperingkat dengan bayaran Fasa Satu dikreditkan mulai 6 Sept dan dijangka selesai pada 10 Sept.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan  yang dipetik Bernama  berkata dana berjumlah RM3.1 bilion telah disalurkan kepada institusi perbankan yang berkaitan hari ini.

Katanya beliau mengambil maklum isu kelewatan bayaran BKC yang sepatutnya dilaksanakan pada bulan lepas dan berikutan itu, beliau telah mengarahkan Kementerian Kewangan menyegerakan pembayaran.

“Saya sentiasa peka terhadap keluh-kesah rakyat dan berharap pembayaran BKC ini sedikit sebanyak mampu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat COVID-19,” katanya.

BKC akan memanfaatkan seramai 10 juta penerima yang terdiri daripada kategori miskin tegar, B40 dan M40 serta golongan bujang yang berkelayakan.

BKC merupakan sebahagian daripada inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), selain bayaran tambahan kepada pakej rangsangan ekonomi.

Pada 28 Jun lepas, kerajaan mengumumkan Pakej PEMULIH sebagai antara inisiatif pemberian bantuan menyeluruh kepada rakyat dalam mengharungi kesan akibat pandemik COVID-19.

Ismail Sabri berkata proses pengkreditan bayaran bagi fasa seterusnya akan dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan.

Tarikh pembayaran BKC Fasa Dua dan Fasa Tiga akan diumumkan Kementerian Kewangan kelak.

“Kerajaan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia terutamanya kumpulan sasar,” katanya.

BKC layak diterima golongan miskin tegar dan B40 dengan jumlah pendapatan RM5,000 dan ke bawah untuk isi rumah dan warga emas, serta bujang dengan pendapatan RM2,500 dan ke bawah, berdasarkan kriteria kelayakan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR 2021).

Sementara itu, golongan M40 yang melaporkan cukai pendapatan dengan jumlah pendapatan RM5,001 hingga RM9,000 untuk isi rumah dan RM2,501 hingga RM5,000 untuk bujang, juga layak menerima BKC.

Di bawah BKC, kategori miskin tegar, isi rumah akan menerima RM1,300; warga emas sebatang kara (RM500) dan bujang (RM500).

Bagi kategori B40, isi rumah akan menerima RM800, warga emas sebatang kara (RM200) dan bujang (RM200) manakala kategori M40, isi rumah layak menerima RM250, warga emas sebatang kara (RM100) dan bujang (RM100).

Secara Rawak

Artikel Terbaru