KUCHING: Sebanyak 25 individu, 14 lelaki dan 11 wanita, berusia antara 22 hingga 49 tahun dikenakan kompaun sebanyak RM37,000 keseluruhannya.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Baja mereka dikompaun gara-gara melanggar prosedur operasi standard (SOP) sempena sambutan ambang Hari Kebangsaan.
Jelasnya, Ops Covid-19 diadakan dari 8 malam 30 Ogos hingga 1 pagi, 31 Ogos di sekitar Kuching
Katanya, individu terbabit melakukan kesalahan kerana berada di kawasan awam melebihi tempoh masa ditetapkan dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal.
“Nilai keseluruhan kompaun yang dikenakan ke atas semua individu adalah sejumlah RM37,500,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pasukan pematuhan telah menjalankan pemeriksaan di dua tempat berasingan di kawasan Jalan Tan Sri Ong Kee Hui dan Jalan Hup Kee di sini.
Katanya, Ops Covid-19 berkenaan dilakukan pasukan pematuhan terdiri tiga pegawai dan 12 anggota yang menjalankan operasi penguatkuasaan SOP Akta 342 sempena sambutan Ambang Merdeka di Kuching.
“Orang ramai dinasihatkan agar mematuhi pelaksanaan SOP yang dikeluarkan dan pihak polis tidak akan berkompromi berhubung perlanggaran SOP,” katanya.